IPOH: Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menuntut mata penuh daripada anak buahnya apabila bertemu Kelantan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perak malam esok.
Yusri berkata, oleh itu pemain Bos Gaurus tidak boleh mengambil mudah perlawanan itu nanti.
Menurutnya, beliau mahukan kemenangan namun pemain tidak harus mengambil mudah cabaran daripada TRW FC.
“Walaupun Kelantan dikatakan menghadapi masalah tetapi saya tidak mahu ia menjadi faktor menjejaskan persembahan Perak.
“Apa masalah yang melanda TRW seharusnya kita ambil kesempatan untuk mencapai keputusan positif,” katanya.
Yusri berkata, Perak perlu menang malam esok bagi mengukuhkan kedudukan dalam persada liga.
Menurutnya, dalam keadaan sekarang Perak belum selamat kerana masih boleh dipintas pasukan bawahan.
“Lebih penting pertemuan dengan pasukan Kelantan adalah salah satu daripada perlawanan di tempat sendiri.
“Satu lagi perlawanan ialah bertemu Sabah pada 3 Disember ini. Beraksi di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada kami untuk mengutip mata penuh.
“Namun harus diingat seandainya pemain leka kami juga akan dihukum,” katanya. – UTUSAN