GEORGE TOWN: Kerajaan disaran mewujudkan harga siling bagi yuran pendaftaran dan yuran bulanan taska serta tadika swasta sebagai langkah meringankan beban rakyat.
Pengerusi Keilmuan Nasional Negeri Pulau Pinang (KNNPP), Azdy Mohd. Arshad berkata, kebelakangan ini pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan berkaitan tindakan pihak pengusaha taska dan tadika swasta yang mengenakan yuran pendaftaran dan yuran bulanan yang sangat tinggi, malah ada yang meletakkan harga tidak munasabah sekali gus membebankan ibu bapa.
“Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dibuat, ada sesetengah taska mengenakan yuran pendaftaran sehingga mencecah RM2,500 dan yuran bulanan untuk sesi separuh hari (pagi hingga tengah hari) sebanyak RM400.
“Tindakan mengenakan yuran pendaftaran yang terlalu tinggi ini adalah sangat membebankan ibu bapa dan mereka yang berpendapatan rendah serta sederhana khususnya golongan B40 dan M40,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azdy, setiap kali permulaan sesi persekolahan, para ibu bapa terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2,000 ke RM2,500 hanya untuk seorang anak yang bersekolah tadika.
“Bayangkan sekiranya pasangan tersebut mempunya lebih daripada seorang anak yang perlu dihantar ke taska atau tadika.
“Sudah pasti ribuan ringgit terpaksa disediakan hanya untuk menghantar anak mereka ke taska atau tadika, malah jumlah ribuan ringgit ini jauh lebih tinggi berbanding menghantar anak masuk ke sekolah berasrama penuh atau ke pusat pengajian tinggi.
“Jumlah ini belum lagi termasuk yuran bulanan, bayaran untuk majlis-majlis atau program-program yang diadakan oleh pihak taska, duit pengangkutan dan lain-lain lagi,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya menyarankan kerajaan mewujudkan harga siling sekitar RM400 ke RM600 bagi yuran pendaftaran dan RM150 ke RM300 bagi yuran bulanan untuk seluruh taska dan tadika swasta di negara ini bagi meringankan beban rakyat.
“Dalam jangka masa panjang, kita berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak lagi tadika milik kerajaan seperti tadika KEMAS dan tadika Perpaduan di setiap kawasan perumahan selain mewujudkan kelas prasekolah di setiap sekolah rendah,” katanya.
Azdy berkata, rakyat kini diasak dengan kenaikan harga barang, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menyebabkan bayaran pinjaman khususnya rumah dan kenderaan meningkat, pengurangan subsidi dan kenaikan cukai yang bakal membebankan rakyat.
”Kita sangat berharap kerajaan khususnya kementerian-kementerian yang berkaitan melihat isu ini sebagai sesuatu yang serius dan mengambil tindakan drastik bagi meringankan beban rakyat,” katanya. – UTUSAN