PETALING JAYA: Yayasan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) memohon kerajaan menyediakan bajet yang adil dan mencukupi bagi membantu 1,451 madrasah tahfiz yang berdaftar dengan badan tersebut dalam Belanjawan Madani, Jumaat ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pinta, Mohd. Zahid Mahmood al-Hafiz berkata, antara lain, bajet tersebut bagi membantu mana-mana madrasah tahfiz di bawah Pinta menepati syarat-syarat yang melayakkan mereka berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
Katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, urusan agama diletakkan di bawah Majlis Agama Islam setiap negeri, justeru, semua madrasah perlu didaftarkan di bawah majlis atau Jabatan Agama Negeri masing-masing.
“Mana-mana madrasah yang telah berdaftar, bajet yang adil serta mencukupi untuk membaik pulih premis bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar. Kami juga meminta kerajaan memberi insentif kepada mana-mana individu atau organisasi yang membantu madrasah tahfiz dalam cara bermanfaat.
“Kami juga memohon kerajaan meneruskan agenda Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang diisytiharkan dengan menekankan libat urus inklusif sentiasa dilakukan dengan madrasah tahfiz di akar umbi sebagai pemegang taruh,” katanya semalam.
Mohd. Zahid berkata, berdasarkan pangkalan data Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Pinta, terdapat 1,451 madrasah atau maahad tahfiz yang beroperasi di Malaysia merangkumi sama ada yang telah berdaftar atau belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
Bagaimanapun, beliau percaya masih banyak lagi madrasah tahfiz persendirian yang belum dikenal pasti untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data tersebut.
“Tujuan pendaftaran semestinya bukan untuk mengekang pertumbuhan madrasah tahfiz di negara ini, namun untuk menjaga kualiti pendidikan, kebajikan dan keselamatan semua madrasah tersebut. Secara mudahnya, ia bertujuan umat Islam mendapat hak untuk mempelajari dan menghafal al-Quran dengan mudah dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN