PETALING JAYA: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyumbangkan sebanyak RM466,150 kepada Skim Penabungan Anak-Anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Rukun Kelima (SPARK) Siri 2 sebagai langkah mengukuhkan amalan menabung di kalangan anak-anak warga ATM.
Sumbangan tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif pembangunan kebajikan anak-anak warga ATM yang bakal memberi manfaat kepada 9,323 orang.
YLTAT dalam kenyataannya berkata, penerima sumbangan bagi inisiatif SPARK Siri 2 setakat bulan ini adalah membabitkan negeri Selangor dan Kuala Lumpur.
“Inisiatif SPARK setakat ini merangkumi negeri Selangor iaitu pada Siri 1 tahun 2022 membabitkan 1,049 anak-anak warga ATM dan Siri 2 tahun 2023 membabitkan 337 orang.
“Sementara itu, di Kuala Lumpur pula seramai 3,234 anak-anak warga ATM terbabit dalam inisiatif SPARK Siri 1 pada tahun lalu, manakala untuk Siri 2 pula membabitkan 750 orang,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, setiap anak warga ATM Darjah Satu hingga Tingkatan Lima yang bersekolah di sekolah dalam kem akan menerima sumbangan RM50 sebagai dana permulaan pembukaan akaun Tabung Haji atau pengkreditan dana berkenaan ke akaun sedia ada mereka.
“Bagi pelaksanaan Siri 2, inisiatif ini diperluaskan kepada pelajar Pra Sekolah,” katanya.
Skim itu adalah hasil jaringan kerjasama strategik TLTAT bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan platform tabung jangka panjang kepada anak-anak warga ATM.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTAT) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Sekolah Kebangsaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.
Raja Mohamed Affandi turut diirngi oleh Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin menyerahkan cek tersebut kepada Timbalan Pengurus Besar Operasi Sokongan TH, Rozimin Ahamed Kamil. – UTUSAN