KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan dana permulaan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM).
Menurut Perdana Menteri, yayasan itu bukan sahaja penting untuk melakukan kebajikan di luar, tetapi menjaga serta mengiktiraf jasa dan khidmat bekas tokoh anak-anak muda.
Beliau berkata, kelulusan itu bagaimanapun tertakluk kepada keupayaan, keberkesanan dan kecekapan.
“(Alumni MBM) selain platform untuk bergerak adalah untuk kita mengekalkan secebis idealis untuk kita terjemahkan dalam kegiatan.
“Tentunya kegiatan berbeda dari dulu, juga memelihara kebajikan sahabat-sahabat kita.
“Selain itu, pemimpin muda harus juga akui sumbangan lalu dan cuba ringankan beban melalui progam-program kebajikan,” katanya di sini, malam ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jamuan Makan Malam dan Ramah Mesra Alumni MBM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, bekas aktivis yang mempunyai latar belakang dan idealisme pelbagai pertubuhan belia diharap dapat terus bergabung dan memberi makna dan mesej jelas kepada anak-anak terutamanya berkaitan soal kenegaraan.
“Jadi saya harap program itu akan diberi perhatian (oleh Alumni MBM) untuk cari jalan bagaimana jabatan dan kementerian memberikan ruang dan mengambil kira pengalaman pemimpin belia zaman lampau.
“Cari ruang supaya ada jalan bagaimana mantan pimpinan belia dapat manfaatkan kemudahan-kemudahan kerajaan dalam pelbagai kegiatan sama ada berbentuk perniagaan dan keusahawan.
“Kita ada ruang yang banyak tetapi kadangkala kelemahan mana-mana kerajaan ialah bukan wawasan atau cetusan idea, namun pelaksanaan itu, jadi mudah-mudahan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN