Wujudkan Pelan Tindakan Pencegahan, Pencemaran dan

Wujudkan Pelan Tindakan Pencegahan, Pencemaran dan Pembersihan Sungai tangani isu sungai tercemar

RAJA Zarith Sofiah melihat pameran sempena Hari Alam Sekitar di Hutan Bandar MBIP, Iskandar Puteri disini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu mewujudkan Pelan Tindakan Pencegahan, Pencemaran dan Pembersihan Sungai di setiap negeri bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu  pencemaran sungai yang berpanjangan di negara ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pelaksanaan pelan itu perlu melibatkan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kelicinan tindakan konstruktif yang diambil.

Katanya, perkara ini tidak boleh diambil mudah memandangkan kebanyakan sungai tercemar di negara ini berada di tahap membimbangkan iaitu di Kelas Empat dan Lima.

“Setakat tahun lalu, terdapat 29 sungai tercemar teruk dan diklasifikasikan sebagai Kelas Empat dan Lima berikutan berpunca daripada pelbagai aktiviti industri, kumbahan, penternakan serta sikap masyarakat membuang sampah-sarap merata-rata.

“Justeru, Pelan Tindakan, Pencegahan, Pencemaran dan Pembersihan Sungai perlu diwujudkan di setiap negeri bagi memastikan sungai ini tidak terus tercemar. Semua agensi terlibat perlu gembleng tenaga tangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan, di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di sini hari ini.

Terdahulu, perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan dirasmikan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada 13 Jun lalu, Nik Nazmi dilaporkan berkata, hanya empat peratus atau 29 daripada keseluruhan 672 sungai di negara ini dikenal pasti tercemar, tahun lalu.

Beliau dilaporkan berkata, data itu berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati Indeks Kualiti Air (IKA) bagi semua sungai berkenaan berada dalam kategori tercemar bagi tempoh itu.

Mengulas lanjut mengenai 29 sungai yang teruk tercemar, Wan Abdul Latiff berkata, aktiviti pencemaran itu berlaku di kawasan hilir yang padat penduduk termasuk berhampiran dengan kawasan industri.

Katanya, kerja pembaikan sungai terbabit sedang dilaksanakan dengan sebahagian besar daripadanya dalam proses tindakan pihak berwajib. 

“Penting untuk mewujudkan pelan tindakan yang diselaraskan Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri dan dipengerusikan oleh Exco Alam Sekitar setiap negeri kerana bidang kuasa setiap agensi adalah berbeza tidak boleh melangkaui antara satu sama lain,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya