PETALING JAYA: Kursi Bahasa Melayu perlu diwujudkan di universiti ternama dunia sebagai usaha memartabatkan tersebut di peringkat antarabangsa.
Langkah tersebut menurut Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) perlu melibatkan pelbagai pihak antaranya termasuklah Kementerian Pendidikan; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perpaduan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kementerian-kementerian lain yang memiliki fungsi berkaitan.
Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Datuk Borhan berkata peranan Kementerian Luar juga perlu dilibatkan bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu.
“Setiap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Kedutaan Malaysia di luar negara, Atase Pendidikan perlu proaktif mengembangkan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing.
“Kursi Bahasa Melayu hendaklah diwujudkan di universiti-universiti ternama di negara-negara terpilih,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Kata beliau lagi, perjuangan bahasa Melayu menghadapi cabaran getir sejak Peristiwa Keranda-152, (1967), termasuk penglibatan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dalam memperjuangkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) 1970.
Keadaan itu berlaku sehinggalah kepada penentangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Dual Language Programme (DLP) serta Unified Examination Certificate (UEC).
Katanya, cabaran tersebut memperlahankan segala usaha pembangunan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.
Selain itu, beliau berkata, perlu diingatkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan isu kenegaraan dan pembinaan negara bangsa.
“Bahasa Melayu merupakan roh bangsa yang selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat Malaysia Madani,” katanya.- UTUSAN