WTE Jeram bakal jana 52 megawatt tenaga - Utusan Malaysia

WTE Jeram bakal jana 52 megawatt tenaga

WTE
AMIRUDIN Shari mendengar penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Norazlina Zakaria berkenaan pembinaan loji termal ISWMC WTE Jeram di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pembinaan loji termal bagi projek pengurusan sampah Waste-To-Energy (WTE) Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di Jeram bermula hari ini dan dijangka mula beroperasi pada 2026 untuk mengurangkan pembuangan di tapak pelupusan dan menjana tenaga sehingga 52 megawatt (MW).

Projek tersebut yang pertama di negeri ini dan terbesar di Malaysia dengan keluasan 12 hektar itu dijangka mampu menguruskan sisa pepejal sebanyak 3,000 tan metrik sehari iaitu hampir separuh daripada pelupusan biasa iaitu sektiar 7,000 tan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bermula 2028 apabila WTE di Tanjung 12, Kuala Langat juga disiapkan, sebanyak 70 hingga 80 peratus sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah dapat dikurangkan.

“Kena ingat, landfill (tapak pelupusan) akan menyebabkan tanah itu tak boleh dibangunkan untuk 20 hingga 35 tahun dan itu amat merugikan serta masih lagi mendedahkan sebarang sisa ataupun lalat (serangga perosak) dan sebagainya kalau tidak diuruskan dengan betul.

“Setakat ini, kita menguruskannya dengan baik, tetapi isu besarnya adalah saiz dan guna tanah yang akan lebih luas untuk menjadi tapak pelupusan sampah. Saya rasa ini adalah teknologi terkini paling selamat dan sesuai untuk diuruskan (sampah pepejal) di kawasan majoriti bandar (berkepadatan tinggi) seperti di Selangor,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, bagaimanapun tapak pelupusan sampah masih perlu bagi melupus sisa pembakaran sampah, namun sebahagiannya masih boleh digunakan semula sebagai bahan binaan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri pada 2018 mengumumkan pembinaan loji termal ISWMC menerusi Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) bernilai RM500 juta yang dikatakan sebagai terbesar di negara ini.

Selain itu, kerajaan negeri Selangor bersetuju agar ISWMC kedua dibangunkan oleh Worldwide di Tanjung 12 dengan kapasiti pelupusan sebanyak 2,000 tan sehari.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjelaskan kepentingan pembinaan WTE untuk mengelakkan daripada pembukaan lebih banyak tanah yang hendak dijadikan sebagai tapak pelupusan sampah.

“Tetapi saiz penggunaan tapak pelupusan tidak akan lagi sebagaimana digunakan hari ini, seperti di Tanjung 12, Kuala Langat kita mungkin hanya dapat bertahan dalam tiga tahun, Jeram pula saya ingat dalam tiga hingga empat tahun kalau tidak dibuat apa-apa akan habis, kena cari tanah baharu.

“Sebab keseluruhan Lembah Klang, angkanya hampir 10,000 tan, Selangor sahaja 7,000 tan. Sebab itu kita tak boleh terus menggunakan landfill. Pengurusan landfill kita pun sudah 4 MW dapat hasilkan tenaga seperti biomas, tetapi seluruh ekosistemnya tak mampan, selepas 20 hingga 30 tahun kena cari tapak baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya