Warga Korea umur 83 tahun cuba seludup dadah ke Malaysia

Warga Korea umur 83 tahun cuba seludup dadah ke Malaysia

SAZALI Mohamad (empat kiri) menunjukkan barang rampasan dadah dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kedatangan kali kedua seorang pelancong warga Korea Selatan selepas 11 hari pernah memasuki Malaysia membongkar kegiatan penyeludupan dadah oleh suspek.

Malahan lelaki yang berusia 83 tahun itu datang ke Malaysia dengan menggunakan Pas Pelancong ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sazali Mohamad berkata, berdasarkan rekod imigresen, suspek pernah masuk ke negara ini pada 16 September lalu tanpa ada masalah dan sekali lagi datang ke Malaysia pada 27 September.

“Walau bagaimanapun, ketibaan kali kedua lelaki warga emas itu dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha turut membawa bersamanya dadah dari jenis kokain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Suspek tambah beliau, ditahan pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, KLIA pada pukul 9 pagi sejurus tiba.

Hasil pemeriksaan terhadap dua bagasi yang dibawa rakyat Korea Selatan itu menemui dua bungkusan berwarna perak cuba disembunyikan di bahagian bawah beg berkenaan disyaki mengandungi dadah dengan anggaran berat kasar kira-kira 3.85 kilogram dan harga pasaran yang dianggar boleh mencecah RM770,000.

“Suspek didapati negatif ketika menjalani ujian air kencing namun pihak mahkamah membenarkan permohonan reman selama 15 hari sehingga 12 Oktober depan,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal ujar beliau, dadah ini dibawa masuk untuk pasaran Malaysia dan sekiranya terlepas keluar, ia boleh diedarkan kepada sejumlah 20,000 orang penagih.

Walau bagaimanapun, warga emas itu disyaki mungkin bertindak sebagai ‘keldai dadah’ dan modus operandi sindiket itu ialah menyorok narkotik dalam bagasi yang diubah suai.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN