Warga emas ambil lesen motosikal mahu bawa cucu bersiar-siar - Utusan Malaysia

Warga emas ambil lesen motosikal mahu bawa cucu bersiar-siar

PARA peserta yang menerima lesen memandu motosikal B2 secara percuma menerusi Program Lesen Memandu B2 (MyLesen) JPJ Peringkat Pulau Pinang, di Midtown Perda, Kepala Batas, semalam. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Hasrat seorang warga emas di Kubang Menerong di sini, untuk membawa cucunya bersiar-siar dengan menunggang motosikal kini menjadi kenyataan selepas berjaya memperolehi Lesen Memandu Kelas B2 semalam.

Hamzah Idris, 62, berkata, sebelum ini dia hanya berani menunggang motosikal di kawasan kampungnya di Changkat, Nibong Tebal susulan tidak memiliki lesen memandu.

HAMZAH IDRIS

“Kalau hendak ke mana-mana, saya naik bas atau minta saudara-mara atau jiran terdekat hantarkan.

“Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, saya rajin bawa cucu berjalan-jalan dan mula menyedari betapa perlunya lesen memandu untuk menjamin keselamatan penunggang serta pembonceng.

“Jadi, saya terus mendaftar dan alangkah bertuahnya apabila dimaklumkan saya layak untuk menerima lesen percuma,” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika ditemui selepas memperoleh lesen memandu menerusi Program Lesen Memandu B2 (MyLesen) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Peringkat Pulau Pinang, di Midtown Perda di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, seramai 900 peserta mendapat manfaat melalui program yang diadakan bagi fasa pertama dan kedua, setakat ini.

Menurut beliau, berdasarkan statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, sebanyak 3,112 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal telah direkodkan pada 2021 dan angka itu terus meningkat kepada 4,101 kematian pada 2022.

Katanya, setakat Jun tahun ini pula, sebanyak 1,889 kematian direkodkan yang mana penunggang motosikal berumur 16 hingga 20 adalah paling ramai yang terlibat dalam kemalangan maut diikuti kategori umur 21 hingga 30 tahun.

“Bersandarkan kepada statistik itu, JPJ telah melaksanakan Op Motosikal dan sejujurnya saya sedih dengan tahap kesedaran masyarakat negeri ini tentang kepentingan memiliki lesen dan usaha perlu dilakukan termasuk membantu mereka yang tidak bekemampuan menerusi program MyLesen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya