Wanita perlu diberi lebih ruang sebagai pembuat keputusan - Zuraida

Wanita perlu diberi lebih ruang sebagai pembuat keputusan – Zuraida

ZURAIDA Kamaruddin pada Majlis Ilmu Minggu Negarawan di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan wanita di negara ini perlu diberikan lebih banyak ruang dan peluang bagi memastikan sasaran 30 peratus wanita berada dalam kelompok pembuat keputusan di peringkat kerajaan dapat dicapai.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, golongan wanita terbukti bagus dalam pendidikan dan ekonomi tetapi mereka juga penting untuk terlibat secara serius dalam politik sekali gus membolehkan suara mereka didengari.

“Apabila kita buat polisi kita akan melengkapkan pandangan lelaki dalam membangunkan negara,” katanya ketika berkongsi perkara itu pada program Minggu Negarawan bertajuk Wanita Dalam Cabaran Politik yang turut disertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Katanya, apabila wanita berada dalam kelompok pembuat keputusan, suara wanita akan lebih didengari dan polisi-polisi yang digubal akan memperkasakan wanita.

Zuraida berkata, perspektif wanita dalam membuat keputusan adalah berbeza dan jika ia dapat dilakukan, keputusan itu boleh saling melengkapi sekali gus dapat membaiki kehidupan wanita.

Menurutnya, beliau mahu lebih ramai wanita di negara ini dilatih untuk berada dalam politik sekali gus boleh terlibat secara langsung sebagai pembuat keputusan.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, pada masa kini kedudukan wanita dalam masyarakat adalah sama penting dengan golongan lelaki.

Menurutnya, suatu ketika dahulu, wanita dilihat tidak berkebolehan dan mereka hanya duduk di rumah sahaja untuk menjaga anak dan memasak tetapi kini, zaman itu sudah berubah dan kerajaan perlu iktiraf kebolehan mereka.

“Kita perlu anggap wanita setaraf lelaki. Apabila kita anggap mereka setaraf dengan lelaki, maka masyarakat akan menjadi lebih kuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya