SEPANG: Tiga bekas rakan sekerja termasuk seorang wanita hamil hampir menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sebelum mereka berjaya diselamatkan oleh wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Menurut Aktivis MHO, Azirul Syafiq Sazali, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20an hingga 30an itu menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Bangkok, Thailand pada 16 Oktober lalu, selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang diiklankan di media sosial sebagai pegawai khidmat pelanggan.
Jelasnya, dua mangsa yang terbabit adalah pasangan suami isteri, manakala seorang lagi merupakan mangsa lelaki yang dikatakan mengenali antara satu sama lain ketika bekerja di Singapura.
“Mereka sanggup berhenti kerja di Singapura selepas terpedaya dengan tawaran sebagai pegawai khidmat pelanggan di Bangkok dengan gaji lumayan sebanyak RM15,000 sebulan.
“Selepas dibelikan tiket kapal terbang oleh ejen pekerjaan, ketiga-tiga mangsa memulakan perjalanan dari Johor ke Bangkok sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Chiang Rai,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini malam tadi.
Menceritakan lanjut, beliau berkata, setelah tiba di Chiang Rai, mereka kemudiannya menaiki perkhidmatan e-hailing menuju ke Mae Sai dan bermalam di sebuah hotel.
Pada keesokan harinya, dalang sindiket itu datang menjemput mangsa menggunakan dua buah motosikal dan membawa ke suatu kawasan di tebing sungai sempadan antara Mae Sai dan Taichileik, Myanmar.
“Setelah dibawa ke tempat transit yang juga sebuah stor usang, ketika itu baru lah mangsa menyedari mereka telah diperdaya apabila mengetahui lokasi sebenar mereka ketika itu adalah Myanmar,” katanya.
Azirul Syafiq berkata, mangsa kemudiannya menghubungi pihak MHO dan meminta bantuan untuk diselamatkan.
Katanya lagi, kesemua mangsa tinggal selama beberapa hari di stor usang tersebut sebelum berjaya diselamatkan dan tidak sempat bertukar tangan kepada sindiket penipuan berkenaan.
“Setelah diselamatkan, kesemua mangsa dibawa ke balai polis di Taichileik sebelum diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk proses bawa keluar dan seterusnya kembali semula ke Bangkok.
“Hasil daripada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan di Taichileik, Mae Sai serta Bangkok, akhirnya kesemua mangsa berjaya dibawa pulang ke tanah air tanpa sebarang masalah.
“Apa yang kami khuatiri adalah seorang mangsa merupakan ibu hamil dengan usia kandungan kira-kira lima bulan. Sudah menjadi modus operandi sindiket penipuan di sana memaksa mangsa wanita hamil untuk menggugurkan kandungan mereka,” katanya.
Salah seorang mangsa yang enggan namanya disiarkan mengakui, dia menerima pekerjaan tersebut kerana jumlah gaji yang ditawarkan benar-benar lumayan.
Walaupun baru beberapa bulan mengenali pasangan suami isteri berkenaan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikuti mereka ke Bangkok.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mengingatkan supaya ahli keluarga mangsa sindiket penipuan untuk tidak sewenang-wenangnya membayar wang tebusan kepada mana-mana individu.
Ini kerana katanya, MHO tidak mengenakan sebarang bayaran kepada ahli keluarga untuk membawa pulang mangsa yang terperangkap di negara-negara berkenaan, sebaliknya menggunakan wang hasil kutipan sumbangan atau tajaan persendirian.
“Tanpa wang sudah semestinya sukar untuk menjalankan misi menyelamatkan mangsa, saya sebut begini kerana ada pihak yang mengatakan bahawa MHO ini mengutip dana daripada orang awam,” ujarnya. – UTUSAN