Wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan Najib

Wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan Najib -Zarul Ahmad

LIM Guan Eng tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi bicara kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau memberi wang RM2 juta masing-masing kepada Lim Guan Eng dan Datuk Seri Najib Tun Razak melalui seorang ahli perniagaan untuk tujuan berbeza sekitar 2017.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkilfli berkata, wang berjumlah RM4 juta itu diserahkan kepada G. Gnanaraja yang kemudiannya didakwa di Shah Alam atas tuduhan menipu.

Menurut saksi pendakwaan ke-23 (SP23), wang RM2 juta dibayar melalui cek kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Ujarnya, wang RM2 juta pula diberi secara tunai kepada bekas Perdana Menteri bertujuan menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikatnya.

Beliau ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Gnanaraja pada awalnya memberi tekanan kepada Zarul Ahmad dan meminta RM19 juta bahawa beliau boleh didakwa di bawah kesalahan pengubahan wang haram dan wang itu untuk menutup siasatan yang dilakukan oleh SPRM.

Ketika ditanya oleh peguam Gobind Singh Deo pada sesi pemeriksaan balas hari ini, Zarul Ahmad bersetuju bahawa wang itu melibatkan jumlah yang besar dan mendakwa urusan tersebut dibuat melalui Najib.

Gobind: Pendek kata, Datuk Zarul bayar kepada Gnanaraja supaya dia boleh beri wang kepada pihak-pihak tertentu untuk tutup kes (siasatan terhadap syarikat kamu?
Zarul Ahmad: Ya

Gobind: Datuk Zarul direman oleh SPRM pada 2019?
Zarul Ahmad: Ya

Gobind: Datuk Zarul ada buat aduan selepas dibebaskan daripada tahanan reman?
Zarul Ahmad: Ya.

Gobind: SPRM kemudian mencadangkan supaya Gnanaraja dituduh bagi kesalahan yang berkaitan dengan aduan kamu?
Zarul Ahmad: Ya.

Ahli perniagaan itu turut menyatakan, beliau kemudian diminta menjadi saksi dalam kes terhadap Gnanaraja di Shah Alam atas pertuduhan menipu.

Pada peringkat itu, Gobind memohon agar dibekalkan salinan pernyataan Zarul Ahmad yang diberikan kepada SPRM, masing-masing bagi siasatan kes Gnanaraja dan Guan Eng.

Pihak pembelaan memohon kedua-dua pernyataan itu atas alasan wujud percanggahan yang material yang memberi kesan kepada perbicaraan Guan Eng.

Gobind membayangkan bahawa Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain bahawa penyerahan hanya melibatkan wang RM2 juta, bukan RM4 juta.

Hakim Azura Alwi kemudian mengarahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan penghujahan berhubung permohonan itu, esok.

Sementara itu, mahkamah menetapkan tarikh-tarikh baharu perbicaraan iaitu pada 1 dan 2 November ini dan tahun depan iaitu pada 16 dan 17 Januari, 26 dan 27 Febuari, Mac (4, 6, 15), April (1, 2, 3, 4) serta 2 dan 3 Mei.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN