PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat menjadikan wakaf al-muaqqat atau bertempoh sementara dalam usaha meningkatkan potensi besar aset wakaf di seluruh negara.
Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan melihat kaedah tersebut mampu menjana wakaf lebih produktif.
“Konsep ini memang baharu, namun sebenarnya ia sesuai dijadikan sebagai sumber dana alternatif pembangunan tanah wakaf melibatkan pihak luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemerkasaan Instrumen Wakaf Bertempoh Dalam Pembangunan Malaysia di sini hari ini.
Pelaksanaan al-muaqqat masih menjadi isu polemik di negara ini kerana konsep wakaf secara kelaziman merujuk kepada harta dipegang kekal selama-lamanya tanpa had masa.
Walau bagaimanapun ujar Mohd. Na’im, ia sudah diamalkan di kebanyakan negara Islam termasuk Indonesia dengan berpegang kepada pendapat minoriti ulama fiqh muamalat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, wakaf itu bukan baharu dan diaplikasikan pihak YWM sejak 2022, malah projek rintis sudah dilaksanakan menerusi iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur.
Skim itu melibatkan kerjasama Yayasan Belia Malaysia dan CIMB Islamic Bank Berhad dengan wakaf bertempoh motosikal hasil dana terkumpul serta terikat selama setahun.
Kenderaan tersebut dipinjamkan kepada peserta program Foodpanda Rider dan setelah tamat tempoh, ia dihibahkan kepada mereka yang berjaya mengikut terma dipersetujui.
Justeru, Mohd. Na’im melihat prospek luas cukup positif untuk wakaf bertempoh dalam sektor kesihatan, pendidikan, perumahan, pertanian makanan, ekonomi dan komuniti.
Potensi pembangunan wakaf tersebut dengan penglibatan pihak swasta katanya, disaran memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi, berdaya maju dan bersifat mampan.
Beliau merujuk contoh hartanah wakaf yang boleh digunakan konsep pinjaman ‘Qardul Hassan’ bagi menebus atau membiayai semula projek yang sudah siap atau beroperasi.
“Aset sebegini menjana pendapatan secara konsisten dan boleh dimajukan melalui inisiatif pembiayaan swasta bagi membolehkan pinjaman dana wakaf itu dibayar balik,” katanya. – UTUSAN