Usaha menyemak dasar sedia ada bukti keprihatinan KPT - Utusan Malaysia

Usaha menyemak dasar sedia ada bukti keprihatinan KPT

MOHAMED Khaled Nordin dan Mohd Ekhwan Toriman melawat salah sebuah reruai sempena Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari terbuka KPT bukan sekadar menjadi platform kepada hubungan simbiosis kementerian dengan universiti, bahkan turut memberi peluang rakan-rakan strategik IPT untuk mengetengahkan produk inovasi yang kebanyakannya sudah di peringkat pengkomersialan.

UKM turut mengambil bahagian pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara menerusi pembukaan reruai Teknopolis Kesihatan, dan pemeriksaan kesihatan menerusi Klinik Bergerak Optometeri Fakulti Sains Kesihatan.

IMEN UKM turut membuka reruai di lobi KPT menerusi pameran alatan PeritoCare. Alat dialisis mudah alih yang membolehkan pesakit buah pinggang melakukan rawatan dialisis secara bergerak di mana sahaja ini turut mendapat perhatian beberapa pihak dari luar negara.

Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM turut membuka reruai dengan menampilkan pelbagai produk inovasi mereka seperti STEM IoT Service Robot.

Peluang ini juga digunakan Hos­pital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) bagi penerangan projek Teknopolis Kesihatan di Cheras yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.

Hari Terbuka KPT juga memberi peluang khalayak memberi pan­dangan berkaitan usaha KPT melihat semula dasar pendidikan negara.

Dalam ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, beliau menegaskan, KPT senantiasa cakna terhadap kepercayaan selaku pemegang taruh utama dalam usaha membekalkan modal insan terbaik negara.

Justeru, YBM KPT telah mengusulkan kepada kementerian agar semakan besar-besaran terhadap dasar sedia ada dilaksanakan segera.

Semakan ini dilihat sebagai suatu keperluan mendesak bagi menangani perkembangan teknologi yang pesat dan bersifat disruptif serta kewujudan gelombang perubahan berskala mega di peringkat global, yang memberi cabaran dalam kehidupan masyarakat tempatan.

“Kementerian percaya, kegagalan untuk berubah dan menyusun semula strategi pendidikan tinggi akan menjadikan kita ketinggalan dan tidak bergerak seiring keperluan serta cabaran sezaman. Semua ini sudah tentu membawa natijah besar yang merugikan negara,” katanya.

Hasil penelitian oleh jawatankuasa khas yang dilantik KPT, 58 cadangan penambahbaikan telah dikemukakan, dan kesemua cadangan diklusterkan kepada tujuh isu utama dihadapi sektor pendidikan tinggi.

Antaranya, peraturan ketat yang mengekang perkembangan sektor pendidikan tinggi, proses atau birokrasi yang menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan, penyelarasan yang tidak memenuhi keperluan industri dan reka bentuk akademik, hala tuju yang tidak jelas akibat kekurangan dasar dan peraturan yang baik, sumber yang terhad, mekanisme pembiayaan yang tidak memberi insentif kepada prestasi tinggi dan penguatkuasaan dan pelaksanaan yang lemah.

Sebagai sebuah universiti watan, UKM percaya segala saranan yang diketengahkan bakal membawa impak besar terhadap landskap pendidikan tinggi negara. Antara inisiatif pantas KPT yang disambut baik UKM adalah pelaksanaan pelbagai proses kelulusan dan tadbir urus universiti dengan lebih cekap serta pemulihan struktur kurikulum program-program pengajian tertentu, seiring keperluan semasa.

Seiring usaha KPT mem­per­­­tingkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi, UKM sentiasa menambah baik program akademik sedia ada untuk keperluan pasaran semasa.

Antara langkah yang diambil adalah menerusi kajian kebolehpasaran graduan.

Soal selidik juga diberikan kepada pihak industri dari masa ke semasa bagi mengenal pasti keperluan dan kemahiran tambahan yang perlu dimiliki oleh para graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Program akademik UKM sentiasa diselarikan dengan keperluan alaf baharu kerana di UKM, melahirkan graduan berdaya tahan yang men­­jadi rebutan dalam pasaran, adalah antara agenda utama dalam sistem akademik universiti.

Sebagai tanda sokongan UKM terhadap usaha KPT ke arah penambahbaikan kedudukan Malaysia sebagai hab ilmu dan bakat bertaraf antarabangsa, UKM telah membuktikan komitmennya melalui penubuhan kampus UKM Qatar yang bakal menawarkan program pesisir prasiswazah dan pascasiswazah menjelang akhir tahun ini serta pelbagai program kerjasama melibatkan institusi antarabangsa berprestij dari China, Thailand, Jerman dan yang terkini, Iran.

Selain itu, penubuhan Pusat Penyelidikan Malaysia-Indonesia UKM melalui Institut Malaysia dan Pengajian Antarabangsa (atau IKMAS UKM) dapat meningkatkan kerjasama secara kolektif dalam mencari penyelesaian kepada isu-isu sejagat. UKM bertekad untuk terus mempertingkatkan mutu pendidikan serta kualiti perkhidmatannya, demi memastikan segala usaha yang telah dilontarkan oleh kerajaan tidak akan dipersiakan begitu sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya