Unimap sedia 25 biasiswa khas buat pelajar Palestin - Utusan Malaysia

Unimap sedia 25 biasiswa khas buat pelajar Palestin

ZALIMAN Sauli (dua dari kiri) mengadakan pertemuan bersama Walid Abu Ali (dua dari kanan) bagi membincangkan mengenai biasiswa khas buat pelajar Palestin di institusi pengajian tinggi itu. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menyediakan 25 biasiswa khas buat pelajar Palestin yang mengikuti pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Inisiatif khas yang dilaksanakan itu antaranya meliputi biasiswa penginapan, yuran pengajian dan wang perbelanjaan harian.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pemberian biasiswa berkenaan diharap dapat membantu pelajar Palestin yang masih menuntut di Unimap agar dapat menjalani pembelajaran dengan lebih selesa.
 
“Pelajar Palestin di Unimap juga akan menerima duit perbelanjaan untuk memudahkan mereka menyara kehidupan harian di samping pengajian,” katanya sewaktu mengadakan pertemuan dengan Duta Palestin ke Malaysia, TYT Walid Abu Ali, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof. Dr. Mohd Shukry Abd Majid dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Selain membincangkan mengenai bantuan berkenaan, pertemuan itu juga turut memberi perhatian terhadap musibah yang menimpa salah seorang pelajar Palestin di Unimap yang kehilangan seorang ahli keluarga.
 
Di samping itu, Unimap turut menegaskan sokongan IPT itu terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam tindakan kejam Israel sekali gus mencerminkan semangat solidariti dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan global.
 
Dalam pada itu, Zaliman berkata, perbincangan dua hala itu tidak hanya memfokuskan pada aspek kewangan namun membabit isu-isu yang dihadapi oleh pelajar Palestin di Unimap.
 
“Kami tidak hanya memberi komitmen untuk menyediakan bantuan kewangan, tetapi juga bagi memberikan sokongan emosi dan moral kepada pelajar Palestin di Unimap.

“Kita percaya bahawa pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk membentuk masa depan yang lebih baik dan kami bersedia untuk bersama-sama mengatasi sebarang cabaran dihadapi oleh pelajar-pelajar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya