UMT setanding universiti terkemuka - Utusan Malaysia

UMT setanding universiti terkemuka

PROF DR. MAZLAN ABD. GHAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini meraikan seramai 325 penerima ijazah sarjana muda daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, universiti berkenaan kini  beralih dari fasa transisi daripada universiti baharu (emerging university) kepada universiti yang lebih matang (matured university). Banyak cabaran dan perubahan yang telah UMT lalui untuk berada di tahap ini.

“Alhamdulillah kini UMT gah berdiri setanding universiti terkemuka yang lain. Malah turut berbangga, kebolehpasaran graduan UMT telah berjaya mencatatkan kadar kebolehpasaran tertinggi dalam tempoh lima tahun. Usaha-usaha untuk mempertingkatkan kebolehpasaran graduan akan terus dipergiatkan”.

Tambahnya pada tahun ini, UMT memperkenalkan beberapa program pengajian baharu seperti Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dan Sarjana Sains Sekitaran Marin Tropika. Program-program ini ditawarkan sesuai dengan arus semasa dan keperluan industri.

“Malah UMT turut menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasakan pendidikan sepanjang hayat melalui penawaran Program Microcredential dan juga kemasukan secara APEL. Selain mengukuhkan reputasi di peringkat global sebagai universiti yang berfokus sumber akuatik dan kelautan yang menyumbang kepada ekonomi madani dan kelestarian alam.

UMT sentiasa bergerak seiring dengan keperluan komuniti khusus dalam mentransformasikan inovasi dan pemindahan ilmu kepada masyarakat setempat. Pelbagai program bersama komuniti telah dijalankan dan mendapat kerjasama serta maklumbalas positif dari pelbagai pihak dan pemegang taruh khusus dalam membantu membangunkan sosio-ekonomi masyarakat.

“Alhamdulillah, UMT berjaya menjalankan program pemindahan ilmu kepada 232 komuniti pada tahun lepas berbanding hanya 128 komuniti pada tahun 2018.

“Hasil penyelidikan yang dijalankan di UMT akan dipindahkan kepada komuniti untuk membantu golongan sasar dalam meningkatkan sumber pendapatan dan seterusnya dapat mengeluarkan mereka dari belenggu garis kemiskinan.

“Kesemua usaha yang telah dijalankan ini mampu memberikan solusi kepada pelbagai permasalahan industri terlibat, komuniti serta negara khusus berkaitan dengan isu keterjaminan makanan dan kelestarian sumber akuatik disamping menyokong United Nation Decade of Ocean Science 2030”.

Menurut Mazlan lagi proses melahirkan graduan berkualiti adalah satu proses berterusan, bermula daripada pemilihan bakal pelajar, aktiviti pembelajaran dan pengajaran di samping proses pemantauan dan intervensi.

“Hasil didikan dan bimbingan para pelajar yang berterusan ini mampu untuk melahirkan insan madani yang holistik dan berdaya saing. Saya amat berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar UMT. Tahniah sekali lagi, sememangnya anda adalah kebanggaan kami”. Ujarnya.

UMT sentiasa komited dalam menjaga kebajikan pelajar yang menghadapi kekangan kewangan dengan mewujudkan beberapa skim bantuan kewangan pelajar daripada Dana Zakat.

Setakat ini, bantuan zakat yang telah diagihkan berjumlah RM1.3 juta dan telah memberi manfaat kepada 2318 orang pelajar asnaf.

Untuk rekod, tahun ini, jumlah dana tabung zakat telah meningkat sebanyak 84% berbanding pada tahun 2022 dan keseluruhan dana zakat yang berjaya diterima adalah berjumlah lebih daripada RM  2 juta.

Selain daripada bantuan zakat, Tabung Wakaf Ilmu UMT juga telah memberi manfaat kepada lebih 12 ribu warga UMT dan komuniti.

Pada konvokesyen kali ini, buat julung kalinya Hadiah Kecemerlangan Wakaf Ilmu UMT yang berupa hadiah plat emas diperkenalkan. Hadiah ini diberikan bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan sumber motivasi agar para graduan terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Turut diperkenalkan Cincin Alumni oleh Pusat Alumni diperkenalkan bagi menggelorakan rasa cinta para graduan kepada alma mater mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya