UMT platform terbaik pelajar cipta nama, gilap bakat - Utusan Malaysia

UMT platform terbaik pelajar cipta nama, gilap bakat

SULTANAH Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Pro Canselor kepada Amir Syawal Kamis pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penerima Anugerah Pro Canselor dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 hari ini menyifatkan universiti itu adalah platform terbaik untuk pelajar mencipta nama dan menggilap bakat serta kemahiran yang mereka ada untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Kapten Ts. Dr. Amir Syawal Kamis, 36, yang juga graduan Doktor Falsafah Sains Nautika berkata, pendedahan kepada pelbagai kursus dan latihan, penyertaan dan pertandingan inovasi telah berjaya menyerlahkan potensi diri pelajar di peringkat dunia.

“Di samping itu, UMT melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni HEPA turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan kebajikan kepada pelajar secara holistik.

“Pemerkasaan mahasiswa sangat penting ke arah persediaan kehidupan yang lebih mencabar khususnya apabila memasuki alam kerjaya nanti dan UMT terbukti dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang menyeluruh untuk semua warganya,” katanya  ketika berucap sebagai wakil graduan dalam majlis konvokesyen itu, hari ini.

Beliau yang berasal dari Pahang memperoleh Diploma Pengajian Nautika daripada Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan kemudiannya bekerja sebagai pegawai malim di atas kapal dagang pada tahun yang sama. 

Berbekalkan pengalaman belayar selama 10 tahun, beliau akhirnya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Sains Nautika pada tahun 2018 dan seterusnya melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran di bawah penyeliaan Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Faizal Ahmad Fuad pada tahun 2021 dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini.

Sementara itu  Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohamad Mukramin Samrah, 24, pula menjadikan kegigihan ayahnya yang mencari rezeki dengan menoreh getah sebagai sumber motivasi untuk mencapai kecemerlangan sepanjang menuntut ilmu di universiti tersebut.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi itu berkata, kesusahan hidup yang dilalui adalah motivasi paling kuat untuk dia mengekalkan keazaman dalam mencapai kecemerlangan.

“Saya masih ingat lagi pada tahun pertama belajar di UMT, ayah masih melakukan kerja-kerja menorah getah semata-mata untuk membayar yuran pengajian sebelum saya berjaya mendapatkan pinjaman.

“Alhamdulillah, semuanya telah berakhir sekarang dan saya berharap semua pelajar tidak menjadikan kemiskinan sebagai halangan untuk berjaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya