SHAH ALAM: Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mewujudkan sistem integrasi antara tiga jabatannya iaitu Bahagian Kemajuan Kerjaya, bahagian undang-undang dan Bendahari bagi meningkatkan kecekapan pengesanan penerima biasiswa universiti.
Selain itu, skim potongan gaji dilakukan terhadap kakitangan terlibat turut diteruskan dan sebahagian besar mereka sedang melalui proses tersebut.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA), Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman berkata, selain penambahbaikan proses dalaman, UiTM turut menilai semula prosedur penawaran kemudahan itu bagi penerima akan datang.
“Kami melihat dari segi tiga perspektif, pertama persediaan calon yang kita akan tawarkan biasiswa, staf tersebut mesti mempunyai kriteria tertentu, contoh mereka mendapat geran atau ada pengalaman membuat penyeldikan, ada kertas cadangan (proposal).
“Kedua, kita tambah baik proses pemantauan terhadap staf berkenaan bersama penyelia mereka supaya kita boleh memantau progres kemajuannya dari awal hingga tamat pengajian ataupun tempoh.
“Salah satu penambahbaikan yang kita juga melihat adalah kita tidak memberi tempoh lanjutan, maksudnya kita beri contohnya empat tahun tiada pelanjutan. Jadi mereka perlu tahu perlu habiskan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, penambahbaikan tersebut dibuat juga untuk memastikan calon-calon yang memohon kemudahan diberikan universiti itu lebih bersedia untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat doktor falsafah.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, bekas Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor menjelaskan UiTM menjalankan skim potongan gaji terhadap kakitangan penerima biasiswa yang pecah kontrak selepas tidak menamatkan pengajian mengikut tempoh ditetapkan.
Perkara itu dijelaskan selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 memaklumkan UiTM berdepan risiko kerugian sehingga RM58 juta selepas lewat melaksanakan proses tuntutan ganti rugi terhadap 239 pemegang biasiswa penghutang pecah kontrak.
Menurut LKAN, kelemahan pelaksanaan tindakan tuntutan ganti rugi terhadap pemegang biasiswa yang pecah kontrak juga melibatkan kehilangan hasil berjumlah RM7.49 juta.
Malah, sehingga 31 Disember 2021, seramai 201 daripada 259 pemegang biasiswa itu yang pecah kontrak sejak 1999 masih belum dibawa kepada kelulusan Jawatankuasa Induk Peningkatan Kerjaya SUmber Manusia UiTM untuk melaksanakan tindakan tuntutan berjumlah RM42.63 juta.
Dalam pada itu, pemohon biasiswa bagi pengajian peringkat siswazah dari universiti berkenaan merupakan kakitangan UiTM sendiri yang perlu melalui proses saringan ketat termasuk mempertahankan proposal kajian sebelum ditawarkan kemudahan tersebut.
“Proses permohonan calon melalui banyak peringkat, daripada fakulti, cawangan sampai ke induk. Kita ada penilai dan melihat proposal mereka dan kena ada defence dan juga temuduga di peringkat fakulti dan universiti.
“Kemudian, bila mereka memohon di universiti lain, dia akan melalui satu lagi proses, banyak peringkat untuk dilalui. Kita juga galakkan calon-calon kita pergi ke universiti-universiti yang terkemuka, ada track record yang baik kerana kita tidak mahu mereka berdepan masalah sepanjang perjalanan pengajian,” jelasnya. – UTUSAN