PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi bagi memastikan tiada kegiatan pertukaran kampit atau mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).
Menurut kenyataan KPKM, dalam operasi diketuai Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin semalam, sampel beras telah diambil mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dianalisis.
“Ini bertujuan untuk menganalisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan beras putih import (BPI),”katanya hari ini.
Foong Hin mengetuai Operasi Bersepadu BPT di premis pemborong beras di sekitar Selangor pada Khamis.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, semua premis pemborong beras mempunyai bekalan (BPT) dan (BPI).
Malah semua premis pemborong beras di sekitar Selangor mempunyai lesen yang masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.
KPKM menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, isu kekurangan beras putih tempatan di beberapa negeri dijangka dapat diselesaikan dengan kemasukan bekalan baharu secara berperingkat dalam tempoh sebulan ke negeri terlibat.
Dalam pada itu, operasi ini melibatkan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi antaranya Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Operasi tersebut melibatkan 42 anggota penguatkuasa dan PDRM meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang. – UTUSAN