HULU TERENGGANU: Seorang tukang rumah patah tulang selangka kanan akibat terjatuh ketika cuba selamatkan diri selepas dikejar seekor beruk liar di Kampung Cheting, dekat sini.
Mangsa, Mohd. Ikram Haikal Haizal Zulkifli, 21, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengumpul kayu untuk dijadikan turus pagar kandang lembu kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, ketika berada di kawasan belukar berkenaan, dia terserempak sekumpulan beruk liar dan salah seekor haiwan itu bertindak agresif mendekatinya hingga memaksa dia lari untuk selamatkan diri.
“Saya berlari ke arah motosikal dan belum sempat hidupkan enjin, saya terjatuh setelah kenderaan itu terbalik kerana situasi agak cemas serta kelam-kabut.
“Mujurlah, ada dua penduduk kampung yang kebetulan lalu di kawasan itu. Mereka menghalau beruk berkenaan sehingga lari ke dalam semak. Jika tiada, tidak tahu macam mana nasib saya.
“Seorang penduduk yang lain telah hantar saya pulang ke rumah. Kemudiannya, ahli keluarga bawa ke Hospital Hulu Terengganu dan dimaklumkan saya patah tulang selangka,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, hari ini.
Tambah Mohd. Ikram Haikal Haizal, kejadian seumpama itu kali pertama dihadapinya dan akibat insiden itu dia dinasihatkan berehat sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebelum boleh bekerja semula.
Katanya lagi, dia difahamkan terdapat beberapa lagi mangsa melibatkan penduduk juga diancam beruk liar di lampung tersebut sebelum ini. – UTUSAN