Tukang kebun didakwa membunuh pengawal keselamatan - Utusan Malaysia

Tukang kebun didakwa membunuh pengawal keselamatan

R. RAVINDREN (kanan) ketika didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bandar Seri Botani di Ipoh Jumaat lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bandar Seri Botani di sini Jumaat lalu.

Tertuduh, R. Ravinderan, 55, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret S. Punitha.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Faizal Asri, 43, di dalam pondok pengawal di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) Seri Botani Simpang Pulai antara pukul 3 petang hingga 8 malam pada 13 Oktober 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, Hanifatinnasikha Mod Dimiyati.

Mahkamah menetapkan 10 Januari 2024 bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa.

Menerusi laporan media pada Ahad lalu, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bersandar di dinding pondok pengawal keselamatan sekolah berkenaan.

Pemeriksaan oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.

Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga rakan sekerja mangsa dan merampas senjata yang digunakan suspek.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa kerana kecederaan di bahagian abdomen akibat objek tumpul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN