KUALA LUMPUR: Tentera Udara Malaysia (TUDM) akan menubuhkan pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebuah pesawat jenis Beechcraft B 200T milik agensi itu melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini, petang ini.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan berkata, pesawat dari Nombor 16 Skuadron terbabit membawa empat anak kapal sedang melaksanakan latihan penerbangan yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 11.27 pagi.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, pesawat berperanan sebagai pesawat rondaan maritim terbabit melakukan pendaratan cemas.
“Semua anak kapal yang terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat milik TUDM terbabas dari landasan dipercayai akibat kegagalan salah satu gear pendaratan pesawat berkenaan.
Kejadian itu tular selepas rakaman insiden berkenaan berdurasi 32 saat dimuat naik dalam media sosial. – UTUSAN