Tubuh unit pemantau elak vandalisme Laman Belia Sungai Rambai

Tubuh unit pemantau elak vandalisme Laman Belia Sungai Rambai

PEMANDANGAN dan fasiliti di Laman Belia Sungai Rambai, Melaka yang terabai sehingga menyuramkan suasana di lokasi yang pernah tular kerana kejernihan sungai di situ. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perbuatan vandalisme dikenal pasti menjadi antara punca banyak kemudahan dan infrastruktur awam yang terdapat di Laman Belia Sungai Rambai dekat sini rosak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, banyak kemudahan telah diselenggara tetapi sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab menyebabkan ia kembali rosak.

SITI FAIZAH ABDUL AZIS

Menurutnya, sudah dua kali peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih dipohon sejak beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu pada 2021.

“Saya telah lihat sendiri dan kita ambil serius perkara ini terutama menjelang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024. Jambatan gantung sudah dua kali saya baiki begitu juga dengan taman permainan.

“Saya bukan hendak menyalahkan sesiapa tetapi jika melibatkan kemudahan awam yang peruntukannya disediakan oleh kerajaan, sila gunakan dengan cermat dan berdisiplin. Sekarang kita dalam proses permohonan bajet untuk menyelenggara dan menceriakan semula kawasan ini.

“Justeru, bagi mengelakkan perkara sama berulang kita akan tubuhkan satu unit pemantau. Saya tidak mahu kemudahan dan hiasan untuk menggamit kehadiran pelancong rosak semula sekali gus mencacatkan pemandangan kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan banyak kemudahan di Laman Belia yang rosak serta usang seperti jeti, peralatan senaman, taman permainan dan tandas awam sementara lantai tempat rehat dipenuhi najis burung.

Tambah Siti Faizah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, sikap pengunjung yang ‘bermurah hati’ memberi makan kepada burung merpati liar menyebabkan haiwan itu semakin berani mendekati manusia.

Katanya, banyak kemudahan seperti gazebo dan siar kaki kotor kerana dipenuhi najis burung meskipun pihak berkuasa tempatan (PBT) telah berulang kali membersihkannya.

“Saya telah minta pihak PBT tangani masalah ini secara berhemah dengan segera tanpa perlu mencederakan haiwan. Saya harap sebelum sistem pencahayaan baharu dipasang burung ini dapat dipindahkan.

“Saya juga mohon supaya pengunjung tidak memberi makan kepada haiwan liar ini demi keselesaan bersama. Sebenarnya banyak lagi perancangan saya untuk Laman Belia yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya