Tubuh jawatankuasa pantau penerima geran PPSMI berjumlah RM27.19 juta

MITRA tubuh jawatankuasa pantau penerima geran RM27.19 juta, Ramanan akan turun padang

R. Ramanan bergambar bersama penerima geran PPSMI Tahun 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan bagi memastikan peruntukan geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) berjumlah RM27.19 juta digunakan secara telus.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R. Ramanan berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan sendiri olehnya bagi menjalankan tugas-tugas pemantauan dan pemeriksaan secara mengejut ke atas organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima geran peruntukan.

“Jawatankuasa ini akan periksa bagaimana mereka kendalikan program termasuk maklum balas daripada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan surat pemakluman kelulusan geran PPSMI 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan yang juga ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, MITRA menerima sebanyak 2,373 permohonan daripada pelbagai organisasi bernilai RM773 juta sehingga tarikh tutup pada 28 Mei lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 352 organisasi dipanggil untuk pembentangan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja MITRA dan hanya 183 permohonan bernilai RM27.19 juta disyorkan untuk menerima geran, manakala bakinya masih dalam proses akhir penilaian.

Jelasnya lagi, geran yang diluluskan adalah berfokus kepada tiga skop utama program MITRA iaitu pendidikan dan pengajian tinggi, ekonomi dan latihan kerjaya serta kebajikan dan kesejahteraan sosial.

“Semua permohonan yang diluluskan itu telah melalui saringan JPPK MITRA atau jawatankuasa MITRA Jabatan Perdana Menteri, bergantung kepada nilai geran tersebut.

“Justeru, penerima geran pada hari ini adalah organisasi yang terpilih dalam menjayakan amanat dan hasrat pembangunan sosio ekonomi masyarakat India,” ujarnya.

Ramanan turut memaklumkan, saringan permohonan tersebut mengambil tempoh masa panjang dan ketat bagi memastikan kesemua pemohon geran peruntukan adalah organisasi yang benar-benar layak.

“Ada banyak juga yang kita tolak, kira-kira 300 daripada 2,273 pemohon sahaja lepasi saringan. Apabila sudah capai RM30 juta peruntukan, kita terus tutup permohonan.

“Organisasi yang kita tolak itu antaranya ada yang kita dapati telah disenarai hitam, memohon geran peruntukan melebihi RM300,000 dan ada juga tidak menyalurkan dana yang diterima sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya