KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mewujudkan satu badan yang akan menyelaraskan keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah bagi memudahkan proses kordinasi dengan keperluan industri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penubuhan badan itu penting bagi memastikan institusi TVET di Sabah dapat dikordinasikan dengan baik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan oleh pemain industri.
“Saya mahu kerajaan negeri dapat kordinasikan institusi TVET di Sabah sebab negeri lebih tahu pelabur mana yang datang dan berapa peluang pekerjaan yang ditawarkan.
“Sekiranya negeri dapat maklumat mengenai jumlah pelajar yang diperlukan oleh industri maka, ia akan mengurangkan ketidaksepadanan graduan yang akan dilahirkan oleh institusi pendidikan.
“Saya juga telah bincang secara tidak rasmi dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif mengenai keperluan mewujudkan badan yang boleh menyelaras TVET di Sabah.
“Jika dilihat di peringkat nasional, kita telah mewujudkan Majlis TVET Negara,” katanya selepas lawatan ke Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), baru-baru ini.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, beliau juga melihat keperluan untuk penyelarasan TVET di negara ini mengunakan modul yang dilaksanakan oleh Majlis Kebangsaan Modal Insan di India yang mengkategorikan industri mengikut kluster-kluster tertentu.
Setiap kluster akan menyediakan keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri, maknyanya penyedia latihan akan mengeluarkan tenaga kerja selaras dengan keperluan industri.
Beliau berkata, penyelarasan TVET perlu bagi memastikan peruntukan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang TVET dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET di Sabah.
Mengulas mengenai Belanjawan 2024, Mustapha berkata, Sabah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.6 bilion. Peruntukan itu menunjukkan manifestasi dukungan kerajaan perpaduan bagi menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Semenanjung dan Sabah.
Namun, peruntukan itu perlu disalurkan dengan kadar segera pada tahun depan agar projek-projek pembangunan dapat dimulakan seawal mungkin.
“Tidak guna bajet besar tapi lambat. Ia perlu diberikan lebih awak supaya pelaksanaan projek pembangunan dapat dipercepatkan,” katanya.
Di samping itu katanya, kerajaan negeri juga perlu melaksana dan memantau projek-projek yang perlu diberi keutamaan seperti projek melibatkan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Duit sudah ada jadi jangan lewatkan pelaksanaannya, ia perlu dipantau betul-betul kerana rakyat sedang memerhati kita. Pelaksanaan projek pembangunan perlu dipercepatkan supaya kita dapat menikmati dana yang diperuntukkan kepada negeri kita,” katanya.-UTUSAN