Trend lagu ‘healing’ di TikTok bukan perkara buruk - Fiersa Besari - Utusan Malaysia

Trend lagu ‘healing’ di TikTok bukan perkara buruk – Fiersa Besari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Fiersa Besari, mengakui lebih banyak lagu bertemakan swacinta dihasilkan dan digunakan sebagai muzik latar di platform TikTok, hari ini.

Lagu Runtuh nyanyian Fiersa dan rakan selebriti, Feby Putri, antara karya awal yang sempat mendapat julukan sebagai lagu ‘healing’ kerana memberi mesej motivasi kepada pendengarnya.

“Ketika Runtuh dilancarkan, tidak ramai yang menyanyikan lagu dengan tema yang sama kecuali Kunto Aji menerusi album Mantra Mantra. Menurut saya, dia tidak sekadar bernyanyi, tetapi sangat mengambil berat tentang keadaan peminatnya.

“Semasa menghasilkan Runtuh, belum ada lagi trend healing seperti hari ini. Lagu Runtuh pula bukanlah terlalu bercakap tentang healing tapi mengisahkan tentang seseorang yang dipaksa menjadi diri orang lain agar cintanya diterima,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Zepp KL baru-baru ini.

Penyanyi asal Bandung itu merasakan lambakan lagu-lagu membawakan tema healing bukanlah sesuatu yang buruk, walaupun ada yang beranggapan terdapat pemuzik yang menghasilkan lagu demi mengikuti permintaan trend semasa.

“Dari awal saya tidak pernah merasakan akan wujud trend seperti ini. Menurut saya ia bukan sesuatu yang buruk kalau memang ada seseorang yang berasa dibantu selepas mendengar lagu-lagu itu.

“Boleh jadi, trend itu dibentuk kerana pendengar yang memilih lagu itu sebagai muzik latar di media sosial. Ia bukanlah niat asal para pemuzik,” tambahnya.

Fiersa baru sahaja selesai mengadakan Konsert Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur di lokasi pertamanya, Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam konsert tersebut, Fiersa menyanyikan 20 buah lagu yang dikutip daripada album yang pernah dilancarkannya sebelum ini.

“Menurut saya, ada lagu-lagu yang pernah saya hasilkan ketika zaman sekolah layak untuk di bawa ke panggung hari ini. Sudah semestinya, beberapa lirik lagu telah saya ubah agar ia kedengaran sedikit matang dan selari dengan pemikiran saya hari ini.

“Seperti tajuknya ‘Berjalan Mundur’, saya membawa koleksi lagu terbaik daripada album saya sebelum ini,” tambahnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya