Tragedi Batang Kali: Syor akta tapak khemah, rekreasi dikuat kuasa

Tragedi Batang Kali: Syor akta tapak khemah, rekreasi dikuat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan forensik kejadian tanah runtuh Batang Kali mengesyorkan supaya akta dan garis panduan untuk tapak perkhemahan serta rekreasi dikuatkuasakan. 

Ia antara lima syor dalam laporan setebal 141 muka surat yang dimuat naik di laman Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini.

Laporan itu turut mengesyorkan, pelaksanaan Kajian Pelan Induk Cerun Negara 2009-2023 perlu dilanjutkan untuk 15 tahun akan datang bagi meningkatkan pelan pengurusan cerun yang berkesan dalam mengurangkan risiko dan kerugian harta benda dan nyawa akibat pelbagai bahaya dan perubahan iklim yang berterusan. 

“Untuk mengurangkan risiko kejadian serupa berulang pada masa hadapan, cadangan langkah pencegahan dilaksanakan termasuk pembangunan bahaya cerun dan peta risiko untuk jalan negeri, termasuk dengan jalan persekutuan. Selain itu, pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan jalan hendaklah dijalankan secara berkala

“Pembangunan Big Data Analytics menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI)  disyorkan untuk mengurus data cerun secara menyeluruh dan bersepadu di semua peringkat pihak berkepentingan untuk membuat keputusan termaklum.

“Seterusnya, pemerkasaan anggota Cawangan Kejuruteraan Cerun dalam mengetuai siasatan terhadap semua kejadian tanah runtuh,” kata laporan itu. 

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 adalah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa. 

Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Susulan itu, satu jawatankuasa khas dikenali Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) telah ditubuhkan bagi menjalankan kerja-kerja penyiasatan tanah runtuh ini berdasarkan kepada Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 dan Memorandum Jemaah Menteri. 

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya dan melibatkan agensi-agensi teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan badan-badan professional yang dilantik. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya