SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersetuju nyah rahsia laporan penuh tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Disember tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan nyah rahsia itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dan dokumen tersebut diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Laporan itu kemudiannya akan dipaparkan di laman sesawang Nadma atau mengagihkan kepada mereka yang memerlukan dan akan dibuat pihak berkuasa sebab laporan itu sangat teknikal dan itu dipaparkan di laman web Nadma untuk perhatian semua pihak.
“Jadi, semua pihak boleh mengambil tindakan selanjutnya. Namun, yang jelas adalah ia adalah laporan teknikal menjelaskan bagaimana berlakunya peristiwa itu (tanah runtuh),” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Beliau menambah, antara terkandung dalam laporan tersebut adalah nama pemilik tapak perkhemahan terbabit serta kawasan milik Jabatan Perhutanan Negeri Selangor serta rizabh jalan.
Mangsa yang terselamat dalam kejadian itu sebelum ini memohon kerajaan mendedahkan laporan siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.
Pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, sudah dibentangkan ke Kabinet.
Tragedi tanah runtuh menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pada 16 Disember tahun lalu membabitkan 92 mangsa dengan 31 daripadanya terkorban. – UTUSAN