PUTRAJAYA: Tourism Malaysia menganjurkan edisi kedua Net-Work Sesh 2023 menerusi kerjasama Resorts World Genting dengan mengetengahkan pelbagai program di bawah rangkaian jenama resort itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghappar berkata, sesi ini adalah peluang terbaik untuk membina jaringan perniagaan bersama Kumpulan Resort World Genting demi kepentingan industri pelancongan.
Katanya, pada masa sama, ia boleh dijadikan satu platform kepada pemain industri untuk menawarkan perkhidmatan dan menampilkan produk pelancongan masing-masing.
“Ia telah menjadi sebahagian daripada tradisi kami sebagai satu cara untuk mengikuti perkembangan produk terkini daripada industri.
“Ini terutamanya dalam persiapan kita dalam penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini hari ini.
Program tersebut menampilkan rangkaian Resorts World Genting, Genting Skyworlds, Resorts World Langkawi, Resorts World Awana dan Resorts World Kijal.
Penganjuran edisi kedua ini Tourism Malaysia Net-Work Sesh 2023 ini selepas kejayaan edisi pertama pada 13 September lalu bertemakan Cabaran Pengalaman dengan membawa beberapa produk lokasi ekstrem dan luar seperti ESCAPE, Skytrex Adventure, Rentas Adventures, Jumpstreet Asia dan SuperPark Malaysia.
Menerusi sesi ini, Tourism Malaysia berharap akan dapat bekerjasama dengan pelbagai lagi produk pelancongan lain dengan pakej promosi aktiviti menarik sama ada bagi pasaran domestik dan antarabangsa. – UTUSAN