Tipu tuntutan Penjana: Jangan menyesal di akhirat - Utusan Malaysia

Tipu tuntutan Penjana: Jangan menyesal di akhirat

Menyesal
WAN Ahmad Hasbullah Wan Mahmud Shudi (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen bagi mengbadapi pertuduhan memperdaya Perkeso ketika memohon tuntutan Penjana untuk pekerjanya yang tidak lagi bekerja, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Lebih baik menyesal di sini, di depan saya berbanding di akhirat nanti.”

Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud ketika membacakan penghakimannya terhadap Wan Ahmad Hasbullah Wan Mahmud Shudi yang dituduh menipu dalam tuntutan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada 2020.

Hakim mengenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar kepada tertuduh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendorong Perkeso untuk membayar RM2,400 sebagai tuntutan bagi pekerja yang tidak lagi bekerja.

“Kamu sepatutnya jangan mengambil kesempatan dalam mana-mana keadaan sekali pun. Covid-19 situasi yang terpaksa dilalui semua orang dan bantuan kerajaan ketika itu untuk orang yang susah bukan untuk kamu ambil kesempatan.

“Bukan kamu seorang sahaja yang mengalami masalah dalam situasi tersebut (pandemik). Menipu adalah perbuatan yang keji. Lebih baik awak menyesal di depan saya berbanding di akhirat,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Wan Ahmad Hasbullah yang bekerja sebagai Pengarah Syarikat Smart Millionz Sdn. Bhd. (SMSB) mendaftarkan seramai 111 orang pekerja dengan gaji ditetapkan antara RM1,200 hingga RM3,000 termasuk seorang wanita yang menerima pendapatan RM2,400.

Pendaftaran tersebut dibuat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum agensi kerajaan itu meluluskan permohonan syarikat tertuduh dalam sistem Penjana Kerjaya dengan jumlah bayaran RM371,600 bagi 111 orang pekerja termasuk RM2,400 bagi tujuan pembayaran gaji selama tiga bulan.

Bagaimanapun, pekerja wanita itu kemudian mengesahkan beliau pernah bekerja sebagai rider di SMSB selama seminggu sebelum berhenti pada pertengahan 2020, namun tidak pernah menerima apa-apa bayaran daripada SMSB.

Sebelum itu, pada prosiding tersebut, peguam yang mewakili tertuduh, Mohd. Hafiz Zainol Abdidin, memohon mahkamah mengambil kira keadaan anak guamnya yang sudah pun mengaku salah pada peringkat paling awal.

“Tertuduh mengaku bersalah pada peringkat paling awal iaitu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan. Tertuduh berusia 40 tahun dan berkahwin dengan dua isteri yang tidak bekerja serta menanggung lima orang anak berusia lima hingga 13 tahun yang masih bersekolah.

“Pengakuan oleh OKT pada peringkat awal menandakan dia insaf. Itu adalah kesalahan pertamanya dan OKT tidak mempunyai sebarang rekod lampau atas kesalahan jenayah. Fakta kes eksibit B1, jumlah kerugian adalah minimum, RM2,400, mohon perkara itu dipertimbang,” rayunya.

Justeru dalam pertuduhannya, Wan Ahmad Hasbullah didakwa memperdaya kakitangan Perkeso untuk mendorongnya menyerahkan wang RM2,400 dengan mempercayai satu orang dalam senarai pekerja di Data Penjana 1.0 SMSB yang tidak bekerja lagi yang mana Perkeso tidak akan lakukan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Oleh demikian, tertuduh berusia 40 tahun itu dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alif Shaharuzaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya