PETALING JAYA: Kenaikan gaji guru adalah antara tiga faktor yang perlu difokuskan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia, Mohd Azizee Hasan berkata, kerajaan perlu menaikkan kadar gaji yang baharu dan memberi insentif kepada barisan pendidik.
“Kadar yang diberikan sekarang bukan tak mencukupi tetapi dalam kos sara hidup sekarang, kerajaan perlu menambah baik skim gaji penjawat awam” katanya.
Azizee berkata, faktor kedua yang perlu diselesaikan dalam Bajet 2024 adalah isu kekurangan guru kerana terdapat lambakan siswazah yang masih tidak dapat lagi penempatan guru.
“Kita dimaklumkan ada lagi 20,000 penempatan kosong untuk guru, jadi kerajaan perlu tangani isu ini segera untuk menangani isu ini supaya keciciran murid dalam pembelajaran tidak berlaku” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan supaya kerajaan segera untuk terus menambah baik infrastruktur di sekolah kerana kerajaan telah memberikan peruntukan yang banyak untuk keselesaan murid.
Banyak sekolah yang masih lagi kekurangan infrastruktur sebagai contoh kekurangan bilik darjah dan kepadatan penduduk.
“Masih ada lagi sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan, sekolah-sekolah yang daif dan sekolah yang berada di pedalaman, kerajaan perlu fokus dalam hal ini untuk pendidikan negara kita” katanya.-UTUSAN