PETALING JAYA: Pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn. Bhd. serta isteri dan anak lelakinya direman empat hari bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah mendapatkan permohonan ketiga-tiga individu itu direman bermula hari ini.
“Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Tangkapan dilakukan di kediaman mereka di Shah Alam semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan syarikat itu menggantung operasinya serta-merta akibat cabaran kewangan signifikan serta akibat tindakan pelabur dipercayai menarik diri pada saat akhir. – UTUSAN