Tiga Muslimat Pas Sungai Petani pulang dari Muktamar maut dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Tiga Muslimat Pas Sungai Petani pulang dari Muktamar maut dirempuh kereta

KEADAAN kereta dinaiki tiga Muslimat Pas Sungai Petani yang dirempuh kereta Toyota Altis yang terbabas Kilometer 389, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Niat tiga Muslimat Pas Sungai Petani untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila mereka dirempuh kereta di Kilometer 389, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Kejadian tersebut mengorbankan Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, bersama Fatihah Nabilah Bukri, 23, dan Nurul Najihah Amzi, 27.

Taibah dan Fatihah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala Nurul Najihah pula disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menghadiri Muktamar Pas di Shah Alam.

Difahamkan, pada awalnya telah berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton di mana kenderaan itu terbabas sendiri di tepi jalan.

Ketiga-tiga mangsa yang menaiki Toyota Fortuner cuba memberi bantuan kepada mangsa sebelum sebuah kereta jenis Toyota Altis terbabas dan merempuh mereka.

Turut terkena rempuhan itu, pemandu Perodua Myvi dan dua penunggang motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC yang turut sama membantu.

Akibat rempuhan itu, kesemua mangsa telah terhumban ke dalam longkang di kiri jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd. Zairul Fahmi Mohd. Nazari berkata, anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 2.18 petang.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton dan Toyota Altis bersama dua buah motosikal.

“Dalam kejadian itu, tiga wanita mengalami kecederaan parah dengan dua daripada mereka disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

“Pemandu Mitsubishi Triton, seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan serta pemandu dan penumpang kereta Toyota Altis cedera ringan manakala pemandu Perodua Myvi pula parah.

“Dua penunggang motosikal masing-masing patah kaki kiri dan cedera pada bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh petugas perubatan yang hadir di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Slim River untuk pemeriksaan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 4.15 petang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya