Tiga bulan hidup diselubungi bau bangkai ikan - Utusan Malaysia

Tiga bulan hidup diselubungi bau bangkai ikan

Bangkai ikan
RIBUAN bangkai ikan timbul dekat longkang yang mengalirkan air ke sebuah kolam tadahan menyebabkan bau busuk mengganggu penduduk di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebuah kilang pemproses makanan laut sejuk beku di Taman Industri Alam Jaya, di sini diserbu pihak berkuasa hari ini selepas melepaskan sisa bangkai ikan ke dalam longkang sebelum hanyut dekat sebuah kolam tadahan berhampiran.

Lebih teruk, bau bangkai ikan tersebut tersebar melebihi 400 meter menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berdepan dengan  suasana tidak selesa sehingga mengganggu aktiviti harian mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jefriee Abd. Manaf berkata, kilang berkenaan diserbu dalam satu operasi bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Menurutnya, kilang tersebut dikenalpasti menyebabkan pencemaran terbabit berdasarkan bahan yang ditemui dalam kolam berkenaan yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kilang terbabit.

“Pekerja kilang ini membuang hasil laut seperti ikan, udang dan sotong ke saluran air yang menghubungkan longkang kilang dengan kolam takungan berkenaan.

“Itu yang menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan perindustrian dan kawasan perumahan Taman Alam Jaya, yang terletak kira-kira 400 m dari sini,” katanya ketika ditemui dalam operasi tersebut.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati ribuan bangkai ikan terapung dekat dalam kolam yang terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan.

Ketika operasi dijalankan di kilang tersebut, didapati kira-kira 10 pekerja tidak mengenakan kelengkapan seperti pelitup muka sedang melakukan kerja pembungkusan hasil makanan laut.

Dalam pada itu, Jefriee memberitahu kilang tersebut dipercayai beroperasi selama tiga bulan dan mempunyai lesen perniagaan sah yang dikneluarkan MPKS.

“Kilang ini dipercayai membungkus produk hasil laut yang kemudiannya dijual di pasaraya tempatan. Yang mana hasil laut yang tidak elok, pekerja kilang ini buang sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, MPKS mengeluarkan empat notis dan dua kompaun selain menyitanya di bawah Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan 2005/Jalan, Parit dan Bangunan 2005 dengan setiap kompaun bernilai RM1,000.

Sementara itu, seorang penduduk, Saari Hasyim, 63, berkata, dia mula menghidu bau busuk sejak kilang tersebut operasi, tiga bulan lalu dan keadaannya lebih teruk pada awal pagi sehingga menyebabkan penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang hari.

“Malah kariah Masjid Taman Alam Jaya terpaksa memakai pelitup muka ketika menunaikan solat Subuh berjemaah kerana bau busuk sangat kuat.

“Saya harap episod pencemaran ini berakhir kerana kami tidak tahan lagi dengan bau ini,” katanya yang sudah tujuh tahun tinggal di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya