Tidak sepatutnya orang Melaka sukar beli beras tempatan - FAMA

Tidak sepatutnya orang Melaka sukar beli beras tempatan – FAMA

HAIRUDDIN Yunos bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Go Cashless@ABR Pasar Mini Esah Haniff di Umbai, Merlimau, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Penduduk Melaka tidak perlu gusar kerana bekalan beras tempatan dijamin mencukupi dan tidak sepatutnya timbul isu makanan ruji itu sukar diperoleh di pasaran negeri ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Hairuddin Yunos berkata, berdasarkan maklumat daripada Kawalselia Padi dan Beras negeri, bekalan yang diterima untuk kegunaan penduduk Melaka berjumlah 500 tan metrik adalah mencukupi.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 400 tan metrik beras tempatan telah diedarkan di seluruh pasar raya dan kedai runcit.

“FAMA pula mendapat 114 tan metrik dan sebanyak 30 tan metrik telah diedarkan kepada seluruh 28 Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan 27 AgroBazaar Rakyat (ABR).

“Setiap minggu FAMA mengedarkan 6,000 kampit beras tempatan untuk dibeli orang ramai di lokasi yang telah ditetapkan. Tidak mungkin bekalan beras tempatan putus di Melaka. Kalau orang Melaka kata susah hendak dapat beras tempatan, ini tidak sepatutnya terjadi.

“Kita di FAMA menyelaras pengedaran bekalan yang disasarkan setiap minggu, selain Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) juga turut membantu mengedar bahan ruji ini agar mudah diperoleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Go Cashless@ABR Pasar Mini Esah Haniff di Umbai, Merlimau di sini, hari ini.

Tambah Hairuddin, pengguna di Melaka tidak perlu membuat pembelian panik kerana bekalan adalah mencukupi.

“Sebenarnya tidak timbul isu kekurangan beras berlaku di negeri ini, berbanding yang berlaku di beberapa negeri kerana bekalan makanan ruji itu mudah diperoleh. Alhamdulillah setakat ini tidak ada rakyat negeri ini mengadu tidak dapat beras,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya