PETALING JAYA – Pelakon, Hisyam Hamid, menafikan khabar angin kononnya dia dan isteri, Rosmawati Hanafi sudah bercerai hanya kerana jarang memuat naik gambar bersama di media sosial.
Menurut Hisyam, 38, dia enggan berkongsi kehidupan peribadi di media sosial bagi menjaga dan menghormati privasi keluarga.
“Tiap-tiap bulan ada artikel pasal isu ini tentang saya dan isteri.
“Saya masih lagi suami orang. Macam saya cakap, sudah kurang sikit kongsi benda-benda peribadi.
“Bahkan dengan anak-anak pun saya akan kongsi sekali sekala, seperti aktiviti kami masak bersama baru-baru ini,” katanya.
Hisyam ditemui Utusan Malaysia di sidang media junket drama bersiri, That Cover Girl, semalam.
Pelakon kelahiran Singapura itu sangat memilih apa yang ingin dikongsikan. Buat masa ini, Hisyam selesa untuk berkongsi hantaran berkenaan perkembangan karier.
Hisyam turut mengakui pernah beberapa kali tidak membuka media sosial sebaliknya menghabiskan masa dengan kenalan di dunia nyata.
“Bagaimanapun media sosial juga kena diselenggara sebab klien akan tengok sebelum tawarkan kerja.
“Saya beberapa kali juga tidak buka media sosial atau tidak muat naik apa-apa hantaran selama beberapa hari.
“Itupun sudah ada yang mesej bertanya mengapa tiada sebarang khabar,” jelasnya.
Sebelum ini timbul khabar angin rumah tangga Hisyam sedang bergolak memandangkan pelakon itu tidak lagi memuat naik sebarang momen manis bersama isterinya.
Hisyam bakal tampil menerusi sebuah drama bersiri enam episod bertajuk That Cover Girl mula ditayangkan menerusi Prime Video Malaysia bermula 19 Oktober ini
Turut sama menjayakan drama itu ialah Siti Saleha, Aiman Hakim Ridza dan Alicia Amin.