MINGGU Apresiasi Watan 2023 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau MAW UKM baru sahaja melabuhkan tirai, sekali gus menjadi titik permulaan satu perjalanan akademik buat 4,286 mahasiswa yang mendaftar di UKM pada 30 September lalu.
Mereka terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa. Orientasi melalui MAW adalah program tahunan bagi mempersiapsediakan pelajar sebelum memulakan aktiviti kuliah dan kehidupan kampus.
Melangkah ke dunia kampus yang berbeza dari alam persekolahan pastinya membuka lembaran baharu dalam kehidupan setiap mahasiswa. Cabaran yang dihadapi juga semestinya tidak sama kerana kehidupan di kampus memerlukan ketahanan mental dan emosi yang tinggi.
Bersesuaian dengan semangat yang telah diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melalui slogan ‘KPT Prihatin’, UKM komited membantu menyelesai dan menangani isu ini bagi memastikan tiada pelajar yang akan tertinggal. Bagi memastikan konsep ‘tiada yang tertinggal’ ini, beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan.
Pertamanya, Pusat Hal Ehwal Pelajar, UKM melalui ‘Program Jejak Anak Watan’, UKM akan menjejaki kumpulan pelajar baharu berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan B10 yang telah diterima masuk ke UKM. Tahun ini, bagi kemasukan Sesi Akademik 2023/2024, UKM memperuntukkan sejumlah RM50,000 yang diagihkan keseluruhannya kepada pelajar daripada pelbagai fakulti yang telah dipilih.
Bantuan kewangan daripada Pusat Zakat (muslim) dan Tabung Kebajikan (bukan muslim) UKM sebanyak RM1,000 diberikan secara one-off. Bantuan berbentuk ‘bakul rahmah’ yang mengandungi bahan kelengkapan persiapan memasuki universiti termasuk peralatan peribadi dan makanan beserta beras dan keperluan lain untuk di rumah keperluan keluarga di rumah turut diserahkan kepada pelajar terpilih ini.
Objektif program ini adalah untuk memastikan pelajar ini tidak tertinggal dalam menyambung pengajian mereka dan berupaya membuat persediaan secukupnya sebelum melangkah ke alam universiti.
Naib Canselor, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman bersama pegawai UKM turut menjejaki penerima-penerima ini, sekali gus menyempurnakan penyerahan surat tawaran kemasukan ke UKM, Bakul Rahmah dan bantuan kewangan ini.
Melalui Unit Kebajikan Pusat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Zakat UKM, sejumlah peruntukan tahunan sekitar RM5.8 juta telah disediakan pada setiap tahun.
Sejumlah besar peruntukan dan agihan zakat ini diberikan melalui pelbagai program seperti bantuan umum pembelajaran (yuran dan sara hidup), bantuan sokongan pengajian dan bantuan kebajikan, bantuan yuran tertunggak, bantuan mobiliti, bantuan pendidikan (komputer riba), insentif kecemerlangan dan bantuan tiket kapal terbang.
Bagi memastikan kesemua permohonan ini dipermudah, UKM juga telah membangunkan sistem e-prihatin. Sistem ini adalah sistem permohonan bantuan bagi Tabung Kebajikan HEP dan Tabung Zakat UKM, Pusat Islam. Sistem ini bagi menggantikan borang permohonan bantuan yang manual sebelum ini.
Selain itu, bantuan ‘Biasiswa Sulong’ diberikan sejajar dengan pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagi sesi 2023/2024 ini, sejumlah RM2.74 juta telah diperuntukkan oleh UKM bagi menjayakan hasrat ini untuk memastikan pelajar ‘sulung’ dapat dibantu sepanjang pengajiannya dan dapat mengubah nasib keluarga suatu masa nanti apabila sudah menamatkan pengajian serta bekerja.
Semangat ‘KPT Prihatin’ ini dijadikan tunjang utama dalam pelaksanaan inisiatif ini dan pihak UKM akan memastikan kesemua belajar khususnya kumpulan yang kurang berkemampuan dapat meneruskan pembelajaran sesuai dengan misi UKM, ‘Mengilham Harapan Mencipta Masa Hadapan’. – UTUSAN