Tiada ritual agama Menteri daftar perkahwinan sivil - JPN

Tiada ritual agama Menteri daftar perkahwinan sivil – JPN

SAIFUDDIN Nasution Ismail mendaftarkan perkahwinan sivil di JPN, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil tidak dipengaruhi, tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

Menurut kenyataan JPN, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Berdasarkan akta itu , katanya, Menteri Dalam Negeri (MDN) merupakan menteri bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.

Menurut JPN, lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

“Ia juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

“Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular video berhubung Saifuddin Nasution sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN di sini.

Ia bersempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang diadakan hari ini yang mana menteri dijemput oleh JPN untuk merasmikan majlis itu yang antara pengisiannya mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang dipilih JPN.

JPN berkata, selain MDN, beberapa pihak turut diberikan kuasa untuk mendaftarkan perkahwinan iaitu Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri.

Ini termasuk pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut.

“JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta 164,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai digesa berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya