Tiada pembangkang, bukan alasan wakil rakyat PN selesa - Utusan Malaysia

Tiada pembangkang, bukan alasan wakil rakyat PN selesa

PERSIDANGAN DUN Terengganu pada penggal ini berlangsung tanpa pembangkang - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Ketiadaan pembangkang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Terengganu ketika ini bukanlah alasan untuk semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan zon selesa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebaliknya semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu perlu menjalankan tugas dengan serius dan terbaik.

Menurutnya, penggal pertama sidang DUN Terengganu Ke-15 yang bermula Ahad lalu tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran pembangkang seperti penggal sebelum ini.

“Saya rasa soalan-soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sama sahaja dengan soalan yang dikemukakan daripada wakil-wakil pembangkang pada penggal yang lalu. 

“Ada soalan yang memerlukan penelitian terperinci daripada pihak kerajaan dan ada juga soalan daripada ‘backbenchers’ yang ditolak oleh pihak kerajaan atas sebab-sebab yang tidak menepati syarat-syarat soalan. 

“Jadi saya rasa ini perkara biasa (tiada beza perjalanan persidangan DUN walaupun tanpa pembangkang),” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam PRN yang berlangsung 12 Ogos lalu, PN Terengganu mencipta sejarah apabila menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN di negeri itu buat kali pertama.

Ditanya mengenai pendapat warganet yang menyifatkan persidangan DUN kali ini tidak ‘panas’ dan tidak menarik kerana tiada pembangkang pula, Ahmad Samsuri berkata ia adalah subjektif dan penerimaan setiap individu adalah berbeza.

“Saya juga tak tahu apa ukuran panas tak panas itu. Adakah panas itu baik atau tidak baik. Jadi ia adalah sangat subjektif. Bagaimanapun, apa yang paling penting adalah matlamat sesuatu sidang diadakan itu tercapai.

“Saya yang diamanahkan sebagai ketua kerajaan negeri akan sentiasa memberi peringatan kepada semua ADUN untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan adil kepada semua rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya