IPOH: Hasrat pemain negara, D. Sarawanan meneruskan kemaraan ke suku akhir perseorangan kategori lelaki kejohanan ITF World Tennis Tour Juniors J60 ( ITF WJT) yang sedang berlangsung di Arena Tenis di sini tidak kesampaian.
Ini berikutan kekalahan pemain bukan pilihan itu kepada pilihan ke-12, August Bostroem Poulsen dari Denmark 6-4, 6-4 di pusingan ketiga semalam.
Kelmarin, Sarawanan melakukan kejutan apabila menewaskan pilihan S. Patel (6) dari India 7-6 (5), 7-6 (1) untuk layak ke pusingan ketiga itu.
Cabaran negara kini digalas oleh D Suresh Kumar yang layak ke suku akhir.
Pemain pilihan kelima itu menyingkir Vademar Dubin (Denmark) 6-2, 6-2.
Seperti diramal, pilihan utama Kim Juan dari Korea mudah mengetepikan lawannya dari Hong Kong, Howard Chan 6-1, 6-0.
Pilihan kedua, Jaden Dewandaka Tan dari Indonesia pula mudah mengatasi Gyeom Do (Korea) 6-3, 6-0.
Turut layak ialah pilihan ketiga, Alexey Shibarev, V Manikantan (India), Arial Kayra Tuna (INA).
Sementara pilihan, utama kategori perempuan, Yu Kikawa dari Jepun menang mudah ke atas pemain Korea, Kay Le’e 6-0,6-0.
Turut menang mudah ialah pilihan kedua, Raneshwaran Revathi Maaya dari India yang menumpas Anna Hsu (Taiwan) 6-0, 6-0.
Pilihan ketiga, Yasmin Vavrowa (Slovakia) hampir dikejutkan sebelum bangkit pada set akhir untuk menang 7-6(5), 4-6, 6-1.
Wakil Malaysia, Soo Hui Yii gagal walaupun memberi tentangan sengit kepada pilihan keempat, Tejasvi Dabas, 6-2, 7-6 (4). – UTUSAN