KUALA LUMPUR: Malaysia hampir menjadi tempat lambakan pelarian kerana Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak berkongsi data yang tepat kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan pelarian di negara ini.
Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan berkata, tanpa data yang tepat, perkara ini menyukarkan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengawal lambakan pelarian di Malaysia.
“Kita risau soal keselamatan dan kesihatan di negara kita. Jika apa-apa terjadi kepada mereka, di mana kita hendak buat laporan jika tiada data dan sebagainya?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar respons terhadap penyataan KDN yang sedang menyiapkan dokumen pendaftaran pelarian (DPP) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Malaysia tidak mempunyai data mengenai pelarian dan tiada mekanisme penyusunan yang mengakibatkan kesukaran untuk mengesan kes jenayah dan penjenayah dalam kumpulan itu.
Menurut laporan Utusan Malaysia sebelum ini, terdapat 182,990 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dari 59 negara sehingga Disember 2022.
Daripada jumlah itu, seramai 135,440 orang (74.01 peratus) adalah pelarian dan hanya 47,550 orang (25.99 peratus) adalah pemohon suaka.
Dalam pada itu, pelarian ini telah memonopoli sektor perniagaan di negara ini tanpa sebarang permit dan lesen yang sah.
“Mereka juga telah memenuhi sektor-sektor perniagaan di negara kita seperti peruncitan, bengkel, restoran makanan dan lain-lain yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada negara kita,” katanya.
Sebagai Presiden MHO, beliau menggesa pihak KDN menyediakan satu garis panduan kepada golongan itu supaya mereka tidak mendatangkan bebanan kepada negara.
“Apa jua bantuan selain bantuan kemanusiaan, perlu berpada-pada supaya tidak mengorbankan kepentingan rakyat kita sendiri,” ujarnya. – UTUSAN