PETALING JAYA: Menambahkan kehangatan Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur, kehadiran legenda rock Indonesia, Thomas Arya dijangka menggamatkan lagi acara yang bakal berlangsung pada 25 November depan.
Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob berkata, penampilan Thomas yang popular menerusi lagu Izinkan dan Berbeza Kasta itu bakal mengimbangi Konsert Millenia yang dibarisi ratu-ratu dangdut dari Malaysia dan Indonesia.
“Thomas Arya sangat dikenali dengan genre slow rock tetapi dia diterbangkan khas untuk konsert dangdut. Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya kaitan slow rock dengan irama dangdut bukan?
“Di situlah kelainan yang kami mahu tampilkan. Walaupun forte Thomas adalah muzik rock, namun keistimewaannya adalah cara nyanyian yang mempunyai cengkok dangdut. Dia memiliki gaya berbeza, lain daripada yang lain,” katanya.
Tambah Jeffri lagi, kehadiran Thomas pastinya akan menghangatkan lagi persembahan Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-klepek dan Rheyna Morena.
“Thomas dijangka mendendangkan empat lagu hits yang mempunyai ramai peminat di Malaysia iaitu Bunga, Syahara dan Satu Hati Sampai Mati atau Orang ketiga.
“Selain itu, kelainan lain yang bakal ditampilkan menerusi konsert ini nanti ialah, kehadiran dua DJ Dugem iaitu DJ ACE JB Style dan DJ Bob Arjuna dari Singapura turut diundang.
“Mereka akan memainkan lagu-lagu irama dangdut dugem seperti yang menjadi kegilaan peminat muda di sosial media,”ujar Jeffri.
Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50.