SHAH ALAM: Seorang asnaf mendakwa masih mencari pekerjaan dan mahu terus bekerja kerana enggan merasa diri tidak sempurna walaupun berdepan kekangan kesihatan.
Bekas kakitangan sebuah stesen TV swasta, Junaidah Harun, 53, berkata, dia sudah bekerja di syarikat tersebut hampir 30 tahun sehingga 2019, namun tetap mengerah ‘tulang empat keratnya’ selepas itu.
Dia yang tinggal di Flora Damansara, Petaling Jaya itu memberitahu, buntu untuk mencari pendapatan bagi menampung bayaran tambahan sekitar RM50 pada setiap kali menjalani dialisis.
“Saya terpaksa berhenti selepas dua tahun bekerja di tempat baharu kerana mengalami masalah buah pinggang dan perlu menjalani dialisis sejak tahun lalu dan diburukkan lagi dengan gangguan penglihatan akibat katarak.
“Sejak itu saya tiada pendapatan tetap dan suami pun tidak lagi bekerja kerana faktor usia. Syukur ada bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang amat meringankan beban, tetapi saya tetap mahu bekerja jika ada majikan yang sanggup mengambil,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, dia bersyukur menerima manfaat daripada LZS seperti bantuan kewangan bulanan, barangan keperluan harian, dialisis dan rawatan mata di Hospital Shah Alam.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan yang juga bekas kakitangan stesen TV sama, Norehan Mohd. Sani dari Batu 21, Hulu Langat tidak dapat menahan sebak apabila diberitahu layak menerima bantuan daripada LZS.
“Saya bersyukur sangat, masih ada yang sanggup membantu. Saya sudah tiada kaki selepas kena ulser akibat kencing manis, sekarang memang bergantung sepenuhnya pada kerusi roda.
“Macam mana hendak bekerja, saya pun ada masalah jantung dan pernah jalani pembedahan bypass pada tiga tahun lalu. Tetapi, anak berusia 17 tahun masih sekolah, tahun ini dia akan hadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), alhamdulillah ada LZS,” luahnya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md. Yusmizan Yusuf berkata, seramai lima orang penerima terdiri daripada bekas kakitangan stesen tv berkenaan dan mereka merupakan antara 10,000 asnaf dibantu LZS pada tahun ini.
“Kita sasar pencarian 12,000 asnaf dan sehingga kini kita baru menemui 10,000 orang. Pelbagai bantuan dihulurkan kepada mereka seperti perubatan, kewangan, ansuran atau sewa rumahdan sebagainya.
“Untuk tahun ini lebih RM300 juta diberikan kepada golongan tersebut. RM100 juta bagi bantuan perubatan dan RM200 juta lagi dibelanjakan untuk bantuan kewangan bulanan,” ujarnya. – UTUSAN