PETALING JAYA: Ternakan menyumbang 40 peratus daripada nilai global pengeluaran pertanian dan menyokong mata pencarian, keselamatan makanan dan pemakanan hampir 1.3 bilion orang.
Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Azman Ismail berkata, permintaan untuk protein haiwan di seluruh dunia juga terus meningkat setiap tahun.
Katanya, ini kerana Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) juga menganggarkan bahawa permintaan untuk makanan akan meningkat sebanyak 60 peratus dan pengeluaran protein haiwan dijangka meningkat sekitar 1.7 peratus setahun pada 2050.
“Menyedari kepentingan protein sumber haiwan, pengeluaran ternakan perlu dilakukan secara mampan dan cekap terutamanya dalam dunia hari ini di mana kita menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan populasi global, kekurangan tanah dan sumber, pencemaran, kehilangan biodiversiti, seta perubahan iklim.
“Pemakanan haiwan yang baik dan mencukupi sangat penting untuk meningkatkan produktiviti ternakan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Pemakanan Haiwan Ternakan (ICAN 2023) melalui melalui kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Oktober lepas.
Mengulas lanjut, Dr. Azman berkata, kelestarian diet haiwan juga sangat penting dalam pembangunan pengeluaran ternakan di seluruh sistem pengeluaran.
“Untuk ini, FAO mengembangkan konsep diet haiwan Lestari (StAnD) yang dapat didefinisikan sebagai diet yang seimbang dalam sema nutrien, bebas dari komponen berbahaya, memenuhi objektif pengeluaran, menghasilkan produk haiwan yang selamat untuk dimakan oleh manusia,” katanya. -UTUSAN