KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri itu sebagai platform dalam menangani semua urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri REE.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan majlis itu juga bertujuan untuk memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.
Menurutnya, majlis tersebut dinaungi oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan oleh beliau.
Katanya, selepas ini, perbincangan berkaitan dasar dan hala tuju pembangunan REE dan royalti juga akan melibatkan majlis tersebut.
“Selain itu, majlis ini juga akan memberi fokus kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR), pembangunan modal insan dan ekonomi bagi rakyat termasuk pengagihan kontrak secara berpusat kepada kontraktor yang berdaftar demi memastikan kesinambungan peluang perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, unjuran potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy Sains Malaysia (ASM).
“Kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kawasan luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan,” katanya.
Malah, tambahnya, satu lawatan bagi kumpulan kerja teknikal juga telah dilakukan ke kawasan perlombongan REE di Gerik, Perak pada Mac lalu bagi melihat aktiviti perlombongan REE secara lebih dekat.
Ahmad Samsuri berkata, lawatan berkaitan REE juga telah diadakan di Kilang Lynas, Gebeng Kuantan di mana kilang tersebut merupakan kilang memproses REE yang diimport dari luar negara.
“Kerajaan negeri juga akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ke arah pembangunan mineral yang lestari dan mampan,” katanya.
Utusan Malaysia 4 Oktober lalu melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP Sumber Asli-REE dan dasar-dasar mineral sedia ada. – UTUSAN