KUALA LUMPUR : Pelawak, Achey, 37, mendedahkan, dia dan anggota Bocey, Fad, sudah lama tidak mendapat sebarang tawaran untuk muncul di mana-mana stesen televisyen terutama menerusi program sitkom.
Menurut Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, situasi tersebut kemungkinan berlaku kerana Bocey dilihat sudah lagi tidak sama seperti dahulu, ketika Allahyarham Abam masih ada.
“Senang kata semenjak arwah Abam meninggal dunia, saya dan Fad kurang mendapat panggilan atau tawaran yang besar untuk karier kami khususnya di kaca televisyen.
“Pendapat saya, mungkin pada pandangan pihak produksi di luar sana merasakan Bocey itu sendiri tidak lengkap tanpa tiga ahli asal.
“Itu pendapat saya lah dan saya selalu bercakap pada Fad yang mungkin kita ini tak lengkap bertiga. Apa-apa pun yang berlaku sekarang ni, kita hadap saja dan teruskan bawa nama Bocey.
“Kalau nak cari pengganti nanti dah tak jadi Bocey dah. Walaupun berdua, kita jalan sajalah, sama ada kuat atau tidak, kita kena cuba sebaik mungkin,” katanya.
Achey berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Legacy Ride 2.0 yang berlangsung di Lapangan Terbang Lama Sungai Besi, kelmarin.
Dalam pada itu, Achey tetap positif biarpun penglibatannya kurang di televisyen kerana apa yang penting baginya adalah mengekalkan nama Bocey dalam industri seni.
“Pada saya ia bukanlah satu hukuman tetapi ia lebih kepada ujian buat Bocey.
“Ujian untuk kami sama ada kuat atau tidak untuk meneruskan karier kami. Atau adakah kami nak terus biarkan ia terkubur?
“Kita pernah lalui jerih perih dari dulu lagi untuk menaikkan nama Bocey, jadi saya risau ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk kami pertahankan nama Bocey dalam industri,” ujarnya.
Selain itu, mengulas mengenai kekurangan program sitkom, Achey berpendapat, stesen televisyen dapat memberi ruang dan peluang kepada pelawak baru berkongsi bakat mereka.
Kata Achey, dia melihat banyak generasi muda yang memiliki bakat semulajadi dalam bidang lawak jenaka namun ruang untuk mereka berkarier agak terhad.
“Saya rasa stesen televisyen perlu sediakan banyak program hiburan lawak untuk rantaian artis lebih-lebih lagi pelawak yang sedang meningkat naik.
“Kesian pada mereka juga sebenarnya sebab baru saja nak meningkat naik tapi tak ada platform yang disediakan.
“Kena perbanyakkan lagi walaupun sitkom tu bajet atau pun penonton dia tidaklah setinggi mana tapi kena adakan supaya mereka yang baharu ini ada peluang untuk menghidupkan karier seni mereka.
“Secara tak langsung, ada juga penerus legasi dalam bidang lawak,” katanya.