PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar seorang penceramah terkenal tanah air, Ustaz Abdullah Khairi.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/10/WhatsApp-Image-2023-10-05-at-3.16.46-PM-330x600.jpeg)
Penarikan balik itu dilakukan melalui satu surat Mais yang dikongsikan Ustaz Abdullah Khairi sendiri dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Menurut surat yang bertarikh 3 Oktober itu, penarikan balik tauliah mengajar beliau di Selangor itu berkuat kuasa 27 September.
Jelas surat itu, ia diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Mais yang bersidang pada 27 September lepas.
Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan alasan tempoh tauliah mengajar beliau yang masih berbaki sehingga 31 Disember 2024 itu, ditarik balik.
Namun, surat itu menjelaskan, beliau boleh membuat rayuan secara bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah Mais kepada MAIS dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat berkenaan.
“Alhamdulillah! Ala kuli halin…Selangor dah bye bye …!!,” tulis Ustaz Abdullah Khairi ringkas. -UTUSAN