Tauliah Dusuki, Abdullah Khairi ditarik selaras titah Sultan Selangor  - Utusan Malaysia

Tauliah Dusuki, Abdullah Khairi ditarik selaras titah Sultan Selangor 

Tauliah mengajar
ABDULLAH Khairu dan Dusuki Abdul Rani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani dan Ustaz Abdullah Khairi dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin mengenai pembatalan penarikan balik tauliah mengajar Dusuki yang dikeluarkan MAIS.

Menurutnya, keputusan itu berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur ketika proses penarikan dibuat dan tidak mempersoalkannya atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan kebenaran mengajar diberi kepada mana-mana aktivis politik.

“Justeru, titah baginda masih berkuat kuasa di Selangor dan keputusan itu juga berdasarkan maklumat status keaktifan Dusuki dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MAIS memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu antara lain kerana ia hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Dusuki telah tamat pada 30 Jun 2023,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelas Abdul Aziz, penarikan balik tauliah mengajar melibatkan Abdullah Khairi juga dibuat selaras titah Sultan Selangor berhubung larangan pemberian kebenaran itu kepada mana-mana aktivis politik. 

“Tindakan penarikan berkenaan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008. Pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak tidak mempolitikkan isu berkenaan dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Ia dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan Islam,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan MAIS menarik balik tauliah mengajar Ustaz Abdullah Khairi melalui satu surat yang dikongsikan penceramah terkenal itu sendiri dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut surat bertarikh 3 Oktober itu, penarikan balik kebenaran itu terhadap beliau di Selangor itu berkuat kuasa 27 September.  Jelas surat itu, ia diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS yang bersidang pada 27 September lepas.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan alasan tempohnya yang masih berbaki sehingga 31 Disember 2024 itu, ditarik balik. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya