PUTRAJAYA: Kerajaan meletakkan isu tatakelola dan tadbir urus yang baik sebagai keutamaan sebelum memutuskan untuk menambah baik sektor percukaian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan utama kerajaan itu penting kerana hanya tatakelola yang baik mampu mengelak ketirisan dan rasuah serta sebarang usaha membolot kekayaan awam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, selepas itu barulah kerajaan memberi tumpuan kepada soal menambah baik sektor percukaian kerana ia juga penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya juga ingatkan bahawa Cukai Nilai Tambah (VAT) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga adalah relevan untuk dibincangkan namun, jangan sekali-kali lupa bahawa negara mewarisi masalah besar dalam soal tadbir urus, rasuah dan defisit dari kerajaan lalu.
“Ekonomi negara pada dasarnya bukan hilang upaya untuk berkembang sebaliknya ia bergantung kepada cara kita mentadbir dan mengurus negara mengikut tatakelola yang baik.
“Saya tidak katakan ini terhad kepada ahli politik sahaja tetapi kepada ahli akademik, ulama dan pemimpin korporat kerana banyak cara untuk bersubahat dengan rasuah dan salah guna kuasa ini,” katanya ketika berucap pada program Symposium – The Path Towards Greater Prosperity For Malaysia anjuran Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Katanya, dasar ekonomi yang dimulakan pada asasnya adalah untuk memastikan tadbir urus yang baik dan kestabilan politik sebelum mempertimbang berapa banyak cukai yang diperlukan untuk memacu dan mengekalkan ekonomi.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan mahu Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta kestabilan politik dapat membantu kerajaan memulakan dasar yang lebih radikal dan reformasi ekonomi.
Menurutnya, ketika ini, bidang yang menjadi kebimbangan adalah subsidi diesel yang mana beliau menyedari bahawa semasa pandemik Covid-19, permintaan untuk bahan api itu melonjak dan peningkatan itu tidak selari dengan keperluan sebenar.
“Ketidakseimbangan itu mengakibatkan kerugian kewangan yang besar akibat ketirisan melalui penyeludupan luar pesisir atau sempadan berjumlah berbilion-bilion,” katanya.
Katanya, jika pelaksanaan subsidi bersasar ini dilaksanakan kelak, rakyat yang terjejas akan terus dibantu malah, bantuan tunai menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh ditingkatkan malah, pelbagai lagi program Rahmah boleh diperkenalkan. – UTUSAN